Will Smith mengaku terlanjur tampar Chris Rock
Mengakui insiden membabitkan kekerasan pada anugerah Oscar semalam amat memalukan Will Smith akhirnya tampil memohon maaf kepada mangsa tamparannya, Chris Rock.
Will yang juga pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Oscars 2022 menerusi filem King Richard itu berkata, dia menyesal atas perbuatannya.
“Keganasan dalam semua bentuk adalah racun dan merosakkan. Tingkah laku saya pada Anugerah Academy malam tadi (semalam) tak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.
“Jenaka dan saya adalah sebahagian daripada kerja, tapi gurauan tentang perubahan Jada (isterinya) adalah terlalu berat untuk saya tanggung, jadi saya bertindak balas mengikut emosi.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada anda, Chris. Saya telah melampaui batas dan saya salah.
"Saya sangat malu dan tindakan saya tidak menunjukkan sifat lelaki yang ingin saya tonjolkan. Tak ada tempat untuk keganasan dalam dunia yang penuh cinta dan kebaikan,” katanya.
Semalam, satu dunia bercakap mengenai insiden yang berlaku di atas pentas Oscars atau Anugerah Academy apabila Smith, 53, melempang Rock selepas dia membuat gurauan mengenai imej botak Jada Pinkett Smith.
Insiden itu dilihat seperti dirancang pada awal, namun menjadi lebih serius selepas pelakon I Am Legend itu menjerit dari tempat duduknya agar Rock tidak menjadikan Jada sebagai bahan jenakanya.
“Keep my wife's name out of your f***ing mouth (Jangan sebut nama isteri aku),” katanya.
Masih perbaiki diri
Rock merujuk kepada watak utama dalam filem GI Jane lakonan Demi Moore pada 1997 yang berkepala botak. Jada mengalami masalah keguguran rambut sejak 2018.
Smith kemudian naik ke pentas dan menampar Rock. Para hadirin dilihat ketawa kerana memikirkan insiden itu dirancang.
Akibatnya, acara itu disiarkan lambat beberapa saat di AS dan audionya dipotong daripada siaran ekoran bahasa kasar yang digunakan.
Bagaimanapun, melalui kenyataan dikeluarkan Polis Los Angeles, Rock dikatakan enggan membuat laporan polis terhadap Smith.
Selain Rock, Smith turut memohon maaf kepada produksi filem King Richard terutamanya dan pihak Academy serta seluruh penonton.
Katanya, dia telah mencemarkan sesuatu yang sepatutnya menjadi kenangan indah mereka semua pada malam itu.
“Saya adalah seseorang yang masih cuba memperbaiki diri,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai