Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lan Solo enggan ulas isu dengan Siti Nordiana

Penyanyi Lan Solo memilih untuk mengunci mulut berbanding mengulas kenyataan dia memaafkan Siti Nordiana kerana bimbang boleh mengganggu proses mahkamah membabitkan mereka.

Soalan itu diajukan kepada Lan susulan kenyataan sahabat baiknya baru-baru ini, Syura Badron yang mengakui sudah memaafkan segala persengketaan dengan Siti Nordiana.

Menurutnya, isu itu sudah diserahkan kepada peguam untuk pengadilan, justeru dia dinasihatkan untuk tidak memberi komen dalam hal di luar bidangnya.

“Kalau bab-bab berkaitan mahkamah, saya tak berani nak komen lebih,” katanya.

Meskipun enggan mengulas secara terperinci soal itu, Lan berkata dia sememangnya sering mempraktikkan amalan memohon maaf dan memaafkan sesama manusia, terutama dengan anggota keluarga dan rakan-rakan.

“Kes sudah diserahkan kepada peguam, saya bukanlah sesiapa untuk menilai atau memaklumkan sesuatu yang disoalkan seperti ini,” katanya.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada Hari Usahawan Negara di World Trade Centre di Kuala Lumpur, semalam.

Dia bersama beberapa rakan artis seperti Saharul Ridzwan, Syed Ali, Siti Fazurina, Adam Corrie, Azan Scan GV8, Qazem Nor, Mahmud Ali Basha, Amai Kamarudin dan Laila Nasir akan berada di Hari Usahawan Negara 2022 hingga esok bagi mempromosi produk masing-masing.

Terdahulu, Lan dan Syura bersama tiga lagi yang dinamakan sebagai defendan, iaitu isterinya, Nur Sheila, Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad masing-masing berdepan tuntutan saman sebanyak RM500,000 oleh Siti Nordiana.

Penyanyi Angkara itu mendakwa, lima sekawan terbabit menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya melalui siaran langsung di Instagram.

Kelima-lima mereka juga pernah cuba menjernihkan hubungan melalui proses mediasi namun gagal menemui jalan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, berkenaan pembabitannya dalam Hari Usahawan Negara itu, Lan berkata dia teruja perniagaan Solo Borneo Mart yang diusahakannya semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Katanya, pengunjung yang biasa membeli barang dari kedainya biasanya berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi kini menetap di semenanjung.

“Saya sudah cuba pelbagai perniagaan sejak bersama dengan kumpulan Kristal lagi. Apa saja yang tak pernah saya jual? Pakaian, makanan, baju raya, semuanya pernah.

“Namun, semua jenis perniagaan itu tak dapat bertahan lama kerana ia bermusim terutama pakaian. Ia juga tak berapa kena dengan jiwa kerana saya bukan orang yang pandai berfesyen.

“Siapa sangka, Solo Borneo Mart semakin kukuh dan pasaran pelanggan kami semakin luas, tak hanya dijual kepada orang asal Sabah dan Sarawak.