Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemain dram Foo Fighters, Taylor Hawkins meninggal dunia

Pemain dram kumpulan Foo Fighters, Taylor Hawkins menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun.

Khabar mengejutkan itu diumumkan dalam satu kenyataan oleh kugiran terkemuka itu di media sosial rasmi mereka hari ini.

Foo Fighters kini berada di Bogotá, Colombia untuk siri jelajah Amerika Selatan. Mereka dijadualkan mengadakan persembahan di Festival Muzik Lollapalooza Brazil esok.

Menurut kenyataan tersebut, pemergian Hawkins meninggalkan kesan mendalam kepada orang di sekeliling yang menyayanginya.

“Keluarga Foo Fighters amat berdukacita dengan tragik dan kehilangan Taylor Hawkins. Semangat muzik dan gelak tawanya akan kekal bersama kita semua buat selama-lamanya,” kata kenyataan itu dipetik Rolling Stone.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, punca kematian Hawkins masih belum dapat disahkan.

Mendiang dilahirikan di Fort Worth, Texas. Dia kemudian berpindah ke California Selatan bersama keluarganya ketika masih kecil.

Namanya mula dikenali selepas menyertai jelajah untuk penyanyi Alanis Morissette. Hawkins yang menyertai Foo Fighters pada 1997 bagi menggantikan William Goldsmith.

Ramai pemuzik dan selebriti memberikan penghormatan terakhir buatnya di media sosial.

“Tuhan memberkati kamu Taylor Hawkins. Saya suka semangat dan kuasa rock kamu yang tak dapat dihalang. Rehatlah dengan damai, kawanku,” kata gitaris Rage Against The Machine, Tom Morello.

Morello turut berkongsi imejnya dan Hawkins bersama vokaslis Jane's Addiction, Perry Farrell.