Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Denlopeh rekodkan catatan pengalaman 'hijrah' Ibnoo Jalil

Di tempat kita, kepada para purist, almarhum Raja ialah pelukis naif yang sebenar. Raja merupakan pelukis yang lebih dikenali dalam kalangan pelukis tempatan lebih daripada masyarakat umum.

Karya-karya beliau kelihatan agak ‘kotor’ dan tidak mengikut displin sebagaimana layaknya sebuah lukisan itu dihasilkan. Karya-karya Raja juga amat jarang dipertontonkan dan sehingga kini hanya sebilangan kecil kerja tangannya ada di tangan sahabat rapat.

Menurut Almarhum Yusof Gajah - seorang pengiat karya-karya naif tempatan yang meninggal dunia baru-baru ini - pelukis naif ialah seseorang yang tidak mendapat pendidikan formal dalam seni lukis.

Dan itu jugalah pendapat yang diterima pakai oleh masyarakat seni umum.

Ironisnya, Pak Yusof sendiri adalah graduan dari Akademi Seni Reka Indonesia di Jogjakarta.

Yusof Gajah telah masuk ke kumpulan yang mempertahankan bahawa siapa saja yang melukis dengan gaya keanak-anakan dianggap sebagai pelukis naif. Sekalipun pelukis berkenaan boleh melukis dengan baik.

Malah terdapat pelukis tempatan yang memiliki ijazah sarjana muda kesenian juga masih melukis dengan gaya naif.

Ada karya jadi ‘dewasa’

Henri Rousseau adalah pelukis naif yang diraikan oleh seniman terkenal Pablo Picasso. Di mata kasar, karya-karya yang dihasilkannya tidak nampak akan kenaifannya.

Namun kerana beliau tidak mendapat sebarang didikan formal dalam seni lukis maka karya-karya Picasso digelar sebagai karya naif.

Sementara itu Camille Bombois pula adalah pelukis naif dari Perancis yang terkenal dengan karya-karya yang bertemakan pesta. Baik suasana temasya di sarkas mahupun pemandangan di dewan opera.

Terdapat perbezaan yang ketara dalam karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis naif di seluruh dunia.

Di Malaya, watak seperti Ismail Baba, Ali Akhbar, Ibnoo Jalil dan Elly Nor Suria adalah antara nama pengiat seni lukis naif yang dikenali ramai.

Daripada semua nama di atas, Elly Nor Suria dilihat sudah mula keluar dengan karya-karya yang lebih 'dewasa' sementara yang lain masih lagi mengekalkan lukisan naif gaya Yusof Gajah.

Mungkin kerana usaha keras Pak Yusof yang terkenal sentiasa mempromosi lukisan gaya naif dan tidak pernah jemu mengajar sesiapa sahaja yang mahu, maka kebanyakan muridnya tetap terus menghasilkan karya mirip kepada karya beliau.

Mungkin kita perlu mengiktiraf gaya tersebut sebagai suatu aliran khas dalam seni lukis negara kita. YGism, misalnya, dan bukannya karya naif sebagaimana selayaknya.

Pusat baru kegiatan seni

Baru-baru ini Ibnoo Jalil, bekas pensyarah Universiti Lim Kok Wing yang kini menjadi pelukis sepenuh masa, telah mengadakan pameran solo keempatnya.

Pameran berjudul Denlopeh itu berlangsung di Galeri Art Market di GMBB Mall, Jalan Robertson di Kuala Lumpur.

GMBB Mall kini sedang giat berusaha untuk menjadi sebuah pasar raya seni. Ruang-ruang sederhana besar disediakan kepada para pengiat seni untuk mempamer dan menjual hasil karya masing-masing.

Sewa yang dikenakan juga adalah amat rendah untuk sebuah bangunan di tengah-tengah kotar raya Kuala Lumpur. Di sana terdapat ramai seniman dari pelbagai aliran mempamerkan karya untuk dijual.

Dengan sedikit sokongan daripada semua pihak, GMBB Mall boleh menjadi pusat seni sepertimana yang pernah berlaku di Pasar Seni Kuala Lumpur suatu masa dulu.

Dalam siri Denlopeh, Ibnoo Jalil merakam kegiatan serta peristiwa yang beliau alami setelah berhijrah ke tempat baru. Beliau yang berasal dari Negeri Sembilan memilih bandar raya Kuantan sebagai pusat baru kegiatan seni.

Karya berjudul Bandar Indera Mahkota misalnya mengambarkan suasana petempatan baru di bandar raya tersebut. Tentu saja beliau membawa suatu pemandangan yang baru dan berbeza berbanding apa yang dilihat penduduk tempatan.

Karya Jalan Ke Raub pula menceritakan bagaimana dalam satu pengembaraan bersendirian pada waktu malam yang sunyi menuju ke daerah Raub, beliau seolah-olah telah mendengar ngauman sang harimau.

Entah kerana dibuai kesepian dan terbawa ke alam bawah sedar atau memang benar terdengar ngauman raja rimba di sebalik bunyi bising kenderaan lain, tidaklah dapat dipastikan, namun kejadian tersebut digambarkan dalam karya yang disebutkan tadi.

Ibnoo Jalil juga menyelitkan tiga buah karya abstrak dalam pameran solonya yang keempat itu. Pameran berkenaan juga beliau dedikasikan kepada almarhum Yusoff Ismail, guru yang banyak berjasa kepada beliau.

Pameran Denlopeh berlangsung dari 19 Mac lalu sehingga 12 April ini.