Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelukis Yusof Gajah kembali ke rahmatullah

Pelukis Mohd Yusof Ismail, atau dikenali sebagai Yusof Gajah meninggal dunia hari ini dalam usia 68 tahun.

Gelaran timangannya itu kerana imej gajah begitu sinonim dengan karya-karya Yusof.

Berita pemergian allahyarham dikongsi Dewan Bahasa dan Pustaka pada hantaran di media sosial.

"Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Gajah.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.

Sepanjang hayatnya, Yusof menyertai pelbagai pameran di dalam dan di luar negara.

Yusof yang lahir di Johol, Negeri Sembilan pada Feb 1954 pernah mempamerkan karya lukisannya di Indonesia, Thailand, Jepun, bekas republik Czechoslovakia, Norway dan Sweden.

Allahyarham menghabiskan masa persekolahannya di Singapura, dan kemudian melanjutkan pelajaran seni di Sekolah Seni Rupa di Yogjakarta, Indonesia pada awal 1970-an.

Karya lukisnya juga menjadi koleksi peribadi Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Balai Seni Visual Negara, Galeri Petronas dan pelbagai syarikat korporat antarabangsa.

Buku karangan dan ilustrasi Yusof berjudul Tiga Ekor Gajah, terbitan DBP diterjemah ke dalam bahasa Inggeris "The Real Elephant” menang anugerah Noma Concours yang didokong Unesco pada 1996.