Vicha: Saya tak pernah tuduh orang Melayu penipu
Vicha Saywho tidak dapat menahan sebak apabila suaminya dituduh sebagai scammer (penipu) selepas dia diberitakan memilih lelaki Nigeria sebagai pasangan hidup.
Pelawak dan pelakon berasal dari Indonesia itu berkata, bukan setakat menyifatkan lelaki dikahwininya itu seorang penjenayah, malah pengguna media sosial turut menyuruh dia segera pulang ke negara asal.
“Saya terus menangis apabila timbul tuduhan suami saya seorang scammer. Apa salah dia? Padahal anggota keluarga suami ramai yang bekerja sebagai polis.
“Netizen antaranya sampaikan direct message (DM) di Instagram dengan (mendakwa) saya manusia tak sedar diri sedangkan saya membina karier dan dapat sokongan ramai di Malaysia.
“Fitnah sebegini yang buat saya enggan dedahkan siapa pasangan saya dari awal. Perkara yang ditakuti akhirnya terjadi juga malah saya dihalau agar pulang ke Indonesia,” tutur Vicha sambil mengesat air matanya.
Kata pemilik nama sebenar Refika Novianti Faturohman itu, semuanya gara-gara laporan sebuah portal pada 5 Mac lalu yang membuat diri dan suaminya terpalit tuduhan tidak berasas.
Vicha, 33, menjelaskan, dia tidak pernah menuduh orang Melayu penipu.
“Saya tak pernah cakap orang Melayu tak bagus atau penipu. Saya sayangkan Malaysia. Saya selesa di sini jadi untuk apa saya cakap orang Melayu penipu?
“Saya cuma cakap sewaktu bercinta dulu saya reda tak ada jodoh dengan orang Melayu. Lima kali bercinta tapi saya ditipu atau yang ingat saya berduit, rupa-rupanya sama-sama susah dan terus menghilang tanpa berita,” katanya.
Akan aibkan pihak ketiga
Vicha baru-baru ini mendedahkan bahawa dia tidak lagi bergelar janda dan sudah empat tahun menikahi lelaki Nigeria dikenali sebagai Johnson.
Walaupun lambat, menurut Vicha, dia akhirnya berkongsi berita perkahwinan itu kerana ingin mengelak fitnah apabila menjalankan urus niaga di Johor Bahru terutama apabila perlu bermalam di negeri itu dengan suaminya.
Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Michael Trevor Ayomide, yang kini berusia dua tahun.
Selain Michael, Vicha juga mempunyai tiga orang anak perempuan yang tinggal di Indonesia hasil daripada perkahwinan terdahulu iaitu Aurael Angelina Khezya, Listya Arum Tresnasih dan Michelle Averina Chalista.
Lebih menakutkan, jelas Vicha, pelbagai berita kurang enak dikhuatiri mengaibkan keluarganya di Indonesia atau suami.
“Bagaimana pula dengan perasaan anak kami apabila dia dah besar nanti... pasti sedih. Anak -anak saya di Indonesia juga bagaimana?
“Saya tak tahu kenapa saya rasa seolah-olah di sini kurang menerima lelaki kulit hitam tapi jika di Indonesia, sama saja seperti orang Malaysia lihat mat saleh,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai