Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Melawan rasa rendah diri pelukis

Salah satu perkara yang didapati menjadi penghalang kemajuan para seniman - pelukis khususnya - ialah tebalnya sikap merendah diri dalam kalangan mereka.

Tidak percaya kepada hasil kerja yang mereka sempurnakan banyak kali menjadi pembantut untuk cita-cita mereka bertambah ke depan dalam dunia seni catan yang mereka ceburi dan cintai.

Kerana itu kita akan dapati para seniman yang bersungguh-sungguh mahu maju dihalang oleh ketakutan sendiri dan tiada keyakinan kepada hasil kerja masing-masing.

Justeru mereka gemar benar mereka menyorok di belakang kurang daya yakin diri itu.

Kata-kata seperti "Saya belum layak, kerja saya tidak sebagus dia" dan pelbagai helah lain digunakan bagi menutup rasa rendah diri.

Terdapat juga seniman seni catan yang sudah bertapak malah malu untuk mempromosi acara yang mereka sertai kerana bimbang dikatakan berlebih-lebihan mengangkat diri.

Mereka harap ditemui sambil berpeluk tubuh lalu didendangkan sebagai wira baru seni catan. Mereka ini nanti akan menjaja cerita bagaimana karya mereka tidak dipandang orang. Mereka juga adalah kumpulan yang selalu menyalahkan semua orang kecuali diri mereka sendiri.

Gigih adakan pameran

Sebaliknya seniman sendirilah yang bertanggungjawab membawa karya mereka kepada pengetahuan orang ramai dengan menonjolkan diri bersama karya.

Lupakan kegelisahan peribadi sebaliknya tumpukan kepada usaha menampakkan karya semaksimum mungkin.

Telah ada bermacam tempat yang disediakan untuk para seniman menampakkan diri. Ruang yang disediakan oleh media sosial, misalnya, akan memudahkan sesiapa saja yang bersungguh-sungguh mahu berusaha. Begitu juga dengan bazar-bazar seni seperti ArtEDecor yang baru berakhir kelmarin.

Terdapat juga individu yang menjadi kurator bebas untuk satu-satu pameran.

Pelukis terkenal seperti Stephen Menon misalnya gigih mengadakan pameran lukisan di beberapa galeri di bawah pentadbirannya. Beliau boleh dihubungi oleh mana-mana pelukis yang berminat untuk mengadakan pameran.

Sedikit tabik hormat harus diberikan kepada Stephen atas usahanya yang tidak kenal penat buat memberi ruang kepada seniman terutama seniman dalam kalangan kaum India.

Untunglah Anwar Abdul Rahman kerana beliau tidak termasuk dalam kumpulan yang ragu-ragu akan keupayaan sendiri seperti yang kami ceritakan di atas.

Walaupun bermula agak lewat, Anwar dengan bergayanya mempamerkan karya-karyanya di mata umum dan beliau berbangga melakukan hal itu.

Bermula 2013 yakni setelah bersara, beliau dengan tekun kembali kepada minatnya yang terutama.

Gambaran cara berfikir

Semasa masih bersekolah beliau sering memenangi pertanding melukis. Kegiatan melukis itu beliau lupakan selama belajar di UiTM dan kemudiannya ke Universiti Malaya.

Pada 2018 beliau mengadakan sebuah pameran  yang berjudul Cenderawasih (Birds of Paradise). Karya-karya beliau ketika itu berbau sedikit surealis. Imej burung yang dikatakan misterius itu digabungkan dengan imej kapal angkasa dari filem Star Wars dan juga jet pejuang.

Ada satu macam kesegaran dalam Siri Cenderawasih Anwar. Dan kini beliau kembali dengan karya yang sedikit geomatris.

Beliau malah mendakwa ia sebagai suatu genre baru dalam seni catan dan digelarnya sebagai abstractgeomatry. Anwar juga mendakwa sebagai pencetus kepada genre tersebut.

Walaupun dakwaan beliau itu boleh dipertikaikan, keberanian Anwar menghasilkan karya yang kelihatan cerdik di samping harga yang diminta untuk karya-karya itu membuktikan akan keyakinan dirinya beliau terhadap apa yang dihasilkan.

Anwar berpendapat bahawa setiap karya mesti mewakili seniman yang menghasilkannya, atau karya itu sendiri adalah gambaran kepada cara berfikir pembuatnya.

Beliau sendiri sentiasa memilih untuk menggunakan judul yang agak bombastik untuk karya sendiri. Antaranya Collision in the Hadron Collider, Sunset Over Lower Manhattan dan juga Crazy Diamond.

Usia bukan penghalang

Karya-karya itu menceritakan - antara lain - pengalaman beliau melawat negara luar dan juga hal-hal penemuan ‘partikel tuhan’ yang menjadi kegemparan kelompok sains sedikit masa dulu.

Memilih tema-tema yang kedengaran asing pada masyarakat tempatan juga adakalanya membuatkan peminat sedikit menjauh. Penumpuan seniman seharusnya dilebihkan kepada apa yang ada “di belakang rumah mereka sendiri."

Boleh jadi kerana telah lama berada dalam dunia perniagaan, Anwar masih ada sedikit kegusaran apabila karya-karya yang beliau hasilkan tidak begitu menarik perhatian pengemar seni catan.

Seharusnya beliau perlu melupakan impian untuk menjadikan karya sebagai barang jualan sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha menghasilkan lebih banyak karya.

Karya yang baik tidak mungkin selamanya terpinggir. Lambat laun ia pasti akan disedari oleh mereka yang serius mencari hasil catan yang serius.

Bermula lewat bukan satu masalah bagi siapa pun. Pelukis kelahiran Cuba, Carmen Herrera, menjual lukisan pertamanya pada 2014 iaitu ketika dia berusia 89 tahun. Dia mengadakan pameran retrospektifnya di New York. Carmen berusia 101 tahun ketika itu.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di New York pada 12 Mac lalu, semasa berusia 107 tahun.

Seniman cetak  negara Jepun yang terkenal dengan siri ombak bergulung, Katsushika Hokusai, pula hanya dikenali ramai setelah berusia lebih 50 tahun.

Apa yang penting ialah terus-menerus berkarya di samping rajin mencari peluang untuk mempamerkan karya masing-masing.

Berkerjasama dengan galeri juga merupakan jalan yang terbaik untuk seniman kerana kita harus mengakui bahawa tidak semua seniman adalah juga jurujual yang baik.

Tugas memasarkan karya hendaklah diberikan kepada ahlinya dan galeri-galeri seni di merata-rata tempat mempunyai kakitangan yang diperlukan untuk memajukan seniman yang bernaung di bawah jenama mereka.

Hendaknya para seniman yang sedang mencari ruang mahu memberanikan diri dan mencadangkan karya-karya mereka kepada galeri seni yang ada. Bimbang karya ditolak seharusnya dijadikan pembakar semangat untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.