Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

TGV mohon maaf: Filem Batman diulang semula sebab VIP 'lambat'

Dikemaskini dengan penjelasan TGV berhubung isu teknikal

TGV mohon maaf lepas aduan tayangan filem The Batman diulang semula sebab VIP lambat

Ia berlaku selepas 45 minit filem itu ditayangkan di pawagam.

Pengendali rangkaian pawagam Tanjung Golden Village Cinemas (TGV) telah memohon maaf kepada pelanggannya berikutan aduan yang mendakwa bahawa tayangan "The Batman" dimulakan semula 45 minit selepas ia mula ditayangkan kerana beberapa "VIP" tiba lewat.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua tetamu yang terkesan dengan kelewatan sesi untuk The Batman di TGV Vivacity.

"Insiden ini tidak mematuhi SOP tayangan kami kerana semua sesi filem kami akan berjalan mengikut masa berdasarkan jadual," kata TGV dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitternya.

Dalam maklum balas mereka terhadap aduan itu, TGV juga berkata mereka akan menawarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada pelanggan yang terjejas.

TGV juga menambah pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.

TGV kemudian menjelaskan perkara itu sebenarnya disebabkan masalah teknikal, selain masalah komunikasi antara pekerja.

Pengguna Facebook Fazillah Raduan sebelum ini menyiarkan pengalaman menonton tayangan berkenaan berkata filem itu telah bermula pada 7.15 malam dan ditayangkan selama 45 minit sebelum dihentikan seketika.

Dia berkata seorang kakitangan kemudian masuk dan membuat pengumuman, “Kami akan memulakan semula filem itu dari awal. Maaf atas kesulitan yang timbul."

Ketika ditanya, kakitangan itu kononnya berkata ia disebabkan oleh beberapa pelanggan yang baru tiba.

Walaupun seorang pengurus telah menawarkan bayaran balik, Fazillah berkata wang itu bukan masalahnya.

“Filem ini adalah 178 minit. Sekarang saya terpaksa bertahan lagi 45 minit hanya kerana sekumpulan orang masuk lewat?

“Ini bukan tentang duit, ini tentang keadilan. Adakah anda cuba memberitahu saya bahawa saya dan pelanggan yang lain adalah kurang penting daripada mereka yang sampai lambat itu,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pengguna Facebook Faridzuan Adres mengulas posting Fazillah mengatakan bahawa kejadian itu berpunca daripada salah faham.

Faridzuan berkata ketika mereka cuba memasuki pawagam pada 7.15 malam, mereka diberitahu terdapat masalah dengan pawagam IMAX dan tayangan akan ditangguhkan hingga 7.45 malam.

Katanya, dia balik pada masa itu tetapi filem itu sudah pun bermula dan dia hanya sempat menonton 10 minit filem itu sebelum dihentikan.

Tambahnya, hampir satu perempat daripada pengunjung tayangan itu tiba lewat dan dia membuat spekulasi bahawa mereka juga dimaklumkan mengenai perkara yang sama.