Ahmad Idham minta media tolong tanya Saifuddin sebab dipecat
Masih tertanya-tanya mengapa kontrak mereka ditamatkan tiba-tiba, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Eizlan Yusof meminta 'bantuan' media untuk menjelaskan kekeliruan itu.
Kata mereka, penamatan kontrak serta-merta oleh Wisma Putra itu memang diterima namun perlu juga mereka mengetahui alasan di sebalik keputusan mengejut tersebut.
Justeru, mereka meminta media menanyakan alasan mengenainya kepada Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.
“Selepas terima surat penamatan kontrak, kami ambil pendirian untuk tak dedahkan pada media sebab menghormati keputusan menteri. Namun, apabila satu kenyataan beredar, semua media ingin ambil tahu.
“Tapi dalam surat tak ada sebarang sebab kenapa ditamatkan perkhidmatan. Kalau boleh, kami nak minta media tolong tanyakan apakah punca atau apa salah kami kepada menteri," kata bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu hari ini.
Pun diperlakukan begitu Ahmad Idham berkata, dia dan Eizlan tidak berdendam kepada sesiapa.
Cuma katanya sebagai manusia biasa mereka mahu tahu apakah kesalahan yang dilakukan sehingga kontrak mereka ditamatkan dengan notis 24 jam saja.
Patut diberi surat teguran
Sekiranya sudah tahu apa kesalahan dilakukan, katanya, ia boleh diperbaiki untuk masa depan.
Lebih menyedihkan jelas Ahmad Idham, surat penamatan kontrak bertarikh 23 Feb lalu diterima ketika dia sekeluarga sedang menjalani tempoh kuarantin kerana dijangkiti Covid-19.
Bahkan katanya seminggu sebelum dijangkiti wabak tersebut, hubungan dia dengan Saifuddin juga tidak menampakkan sebarang tanda-tanda wujudnya konflik.
“Menteri juga tahu saya sedang menjalani kuarantin. Kami sebelum tu masih boleh berbincang mengenai misi kemanusian ke Afghanistan. Dan alhamdulillah, misi menyelamat pun dah tiba di sana.
“Yang ralat, mengikut norma kerja di pejabat awam seperti Finas misalnya, sebelum sesuatu surat penamatan kontrak dikeluarkan, wajar seseorang itu diberikan surat teguran atau surat tindakan tatatertib dulu.
“Tapi perkara tu tak berlaku pada kami. Yang saya tahu, pada hari nak masuk pejabat barulah saya dimaklumkan ada surat,” katanya.
Untuk rekod, surat penamatan kontrak itu - walaupun bertarikh 23 Feb - sampai ke tangan Ahmad Idham dan Eizlan hanya pada 28 Feb.
Sebelum ini kedua-dua mereka dilantik Wisma Putra dikatakan selaras dengan objektif membangunkan diplomasi budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia dan berkuat kuasa pada 1 Nov tahun lalu.
Dakwaan sangat kelakar
Ahmad Idham dan Eizlan ditemui pada sidang media khas bagi menjelaskan situasi sebenar yang diadakan secara maya petang tadi.
Di Wisma Putra sebelum ini, Ahmad Idham memegang jawatan sebagai perunding kreatif manakala Eizlan sebagai setiausaha kebudayaan.
Menjawab dakwaan adakah punca ditamatkan kontrak disebabkan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah tiket Bersatu, Ahmad Idham berkata, ia sesuatu yang “sangat kelakar.”
Enggan mengulas secara terperinci, Ahmad Idham yang juga pengarah filem itu cuma menjawab dia tidak menolak sekiranya wujud unsur-unsur politik yang cuba menjatuhkan Saifuddin.
“Itu sangat kelakar. Belum ada sebarang lamaran lagi (daripada parti politik). Dakwaan ni datang daripada sumber dalaman tapi saya pula membaca dari sudut berbeza," katanya.
Menurut pengarah filem Hantu Bonceng itu lagi setakat ini dia hanya terlibat dalam aktiviti politik di kawasan parlimen Saifuddin, iaitu Indera Mahkota, dan mungkin ada pihak tertentu mahu merosakkan imej bosnya itu.
"Kalau betul nak masuk parti, baik saya berjumpa (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin.
“Saya bukan tak kenal atau tak ada akses untuk berjumpa dia. Adakah ni cubaan untuk melagakan kami sedangkan menteri sendiri pernah menyatakan tiada halangan untuk berpolitik kerana ia hak individu,” kata anggota Bersatu itu.
Pada masa sama, Ahmad Idham berkata, dia akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Muhyiddin bagi merujuk pandangannya.
“Saya nyatakan hasrat di sini untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk minta pencerahan pasal isu ni. Saya juga berminat untuk teruskan kerja kerja di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Namun dia tidak pasti sama ada ia akan menggunakan wadah parti politik atau NGO.
“Mana tahu, dari situ mungkin saya berminat nak bergiat lebih aktif dalam parti. Saya tak nak orang berkata baru dah kena pecat baru terhegeh-hegeh,” katanya.
Dia turut menafikan menerima manfaat bertaraf diplomat semasa berkhidmat di Kementerian Luar.
“Saya tak dapat banyak kelebihan, cuma bilik yang kecil dan pasport diplomatik saja tak ada pemandu atau kereta khas pun,” katanya.
Sementara itu, Eizlan berkata, pemecatan secara tiba-tiba itu disifatkan suatu tindakan tidak gentleman (budiman) kerana mereka tidak dipanggil untuk berbincang terlebih dulu.
Menurutnya, tambah kecewa, perkhidmatannya selama empat bulan untuk kementerian berkenaan dilakukan secara sukarelawan bahkan tidak menggunakan satu sen pun duit kerajaan.
“Saya tak dibayar kerajaan tak ada elaun pun malah terpaksa keluarkan wang sendiri untuk berkhidmat.
“Jadi ya, memang ralat apabila tak tau apa punca perkhidmatan kami ditamatkan. Ni adalah satu tindakan tak gentleman. Tapi kami menghormati keputusan menteri,” katanya.
Untuk rekod, selain Ahmad Idham dan Eizlan, turut ditamatkan perkhidmatan serta-merta ialah Fizal Fauzi, yang sebelum ini menjadi setiausaha sulit Saifuddin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai