Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Menulis untuk anugerah

ULASAN SENI | Seorang sahabat  yang sudah 30 tahun terputus hubungan tiba-tiba menghubungi saya.

"Aku mahu 10 sajak untuk terbitan antologi bersama. Juga wang RM100 untuk kos cetak," katanya.

Dia juga  menghubungi beberapa kawan lain yang sudah setuju menerbitkan kumpulan sajak bersama itu.

Hairan. Ketika ekonomi sedang merudum dan ramai yang tidak ada kerja, tiba-tiba seorang hamba Allah yang sudah 10 tahun pencen daripada tugasnya sebagai penjawat awam berminat menerbitkan sajak.

Buku sajak memang diakui tidak laku. Saya mencabar: "Kenapa tidak terbitkan buku cerita hantu yang pasti laris? Melayu mudah percaya pada dongeng."

Dia mengeluh. Tidak setuju dengan pandangan sarkastik saya.

"Baik juga kau terbitkan buku doa dan amalan harian kerana Melayu memang suka buku agama. Bulan puasa dah dekat. Kau dapat pahala," saya terus mencabar kesabarannya.

Dia tak setuju. "Aku mahu hasilkan sesuatu yang bererti untuk sastera kita. Anugerah untuk para sahabat sasterawan."

Masih hidupkan sastera

Saya kemudian teringat kepada buku yang dia pernah tulis tiga tahun lalu. "Bagaimana buku Malu Apa Bossku? Ada nilai sejarah sasterawan ke?"

Dia diam. Buku yang gambar kulitnya memaparkan Najib Razak menunggang motosikal kapcai menjadi bualan rakan-rakan seni. Saya tak pasti ilham apa yang dia dapat ketika menghasilkan buku kisah bekas perdana menteri yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah itu.

Adakah kawan saya itu dibayar untuk menghasilkan buku itu atau ia terlahir daripada sekadar simpati terhadap manusia yang kononnya mangsa pertarungan politik.

Beberapa hari kemudian dia menghubungi saya lagi untuk bertanya 10 sajak yang mahu dimuatkannya dalam antologi itu. Dia memujuk supaya saya tidak terpinggir dalam penerbitan itu yang memuatkan karya penulis dekad 1980-an yang kononnya mewakili zaman.

"Aku pilih penulis yang terbaik dan menang hadiah sastera saja," dia terus cuba memancing. Saya tergelak. Untuk apa? Adakah sastera Malaysia pilih karya terbaik atau penulis terbaik? Adakah sastera Malaysia memang masih hidup atau ia sekadar perjuangan untuk kawan-kawan sahaja?

Ramai sasterawan yang bagus di Malaysia ini namun mereka tidak pernah dihargai. Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad adalah contoh paling jelas seorang genius Melayu yang melahirkan karya avant garde tapi tidak pernah diiktiraf sebagai sasterawan penting.

Dia tidak disenaraikan sebagai Sasterawan Negara atau paling tidak pun Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award), atau Anugerah Penulis Asia Tenggara (Southeast Asian Writers Award) yang diberikan setiap tahun sejak 1979 kepada penulis Asia Tenggara.

Karya Pak Sako - termasuk Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila - mencerminkan pemikiran dia tentang patriotisme dan kesedaran membangunkan minda Melayu.

Mengadun secara bersahaja

Malangnya birokrat sastera, sarjana, cendekiawan dan cendawan Melayu tidak melihat kekuatan karya berkenaan sebagai memiliki nilai seni. Pak Sako bukan sahaja dinafikan hak sebagai Sasterawan Negara, malah ada yang secara biadab menyatakan tokoh berkenaan hanya wartawan yang memperjuangkan golongan sosialis!

Sejak bertahun-tahun sastera Malaysia tidak pernah sunyi daripada kritikan dan teguran terbuka. Beberapa sasterawan berbobot yang sepatutnya diangkat sebagai penerima Anugerah Penulis SEA dinafikan hak mereka sehingga akhir hayat.

T Alias Taib dinafikan haknya walaupun kumpulan sajak Laut Tak Biru Di Seberang Takir (1972), Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988) dan Piramid (1990) mempunya identiti yang luar biasa.

T Alias Taib

Karya arwah itu bukan sekadar pemberontakan terhadap kerosakan alam, juga mengadunkan isi dan bentuk secara bersahaja. Jika dinilai balik hasil pengkaryaannya, sajak T Alias berada di tengah suara Baha Zain, Muhammad Haji Salleh dan A Latiff Mohidin.

Di sana ada unsur sosial, falsafah, intlektual dan ritma alam.

Gagal dapat pengiktirafan

Panel yang berkenaan tidak menilai unsur berkenaan kerana mereka lebih seronok menimbang persahabatan dan setiakawan sesama sendiri. Mereka  tidak pedulikan sangat karya yang baik kerana di dalamnya ada nanah yang terhasil daripada barah sukar dirawat.

Panel penilai, birokrat seni, sarjana dan mantan profesor mempergunakan sastera dan anugerah untuk tujuan yang masih 'misteri.'

Kita ada beberapa tokoh penulis yang sepatutnya menerima Anugerah Penulis SEA tapi dinafikan haknya. Sehingga akhir hayatnya pada 2015, Rahimidin Zahari gagal mendapat pengiktirafan yang selayaknya.

Dia menerbitkan 15 buku perseorangan dan lebih 60 buah kumpulan karya bersama penulis lain. Judul bukunya seperti Lakaran Kampung, Cempaka Putih, Pewaris, Wira Sekolah, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska (Istana Pasir) - sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow, Aksara, Perjalanan Salik, Rawana (dwibahasa Melayu-Inggeris) dan Perahu Fansuri.

Rahimidin Zahari

Dramanya yang pernah dipentaskan ialah Muzikal Puteri Hang Li Po, Suzana @ 60, teater Tari Pentas, Muzikal Putra, Mahsuri, Rebab Berbisik, Dalang dan Bidan Ketujuh.

Puisinya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti bahasa Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab dan  Thailand.

Rahimidin juga mewakili negara ke Second Asean Writers Conference (1995), Festival Istiqlal (1995), International World Theatre Congres anjuran Unesco (2005), Program Penataran Mastera (2006) dan Korea-Asean Poets Literature Festival (2010).

Ramai orang muda menang

Malangnya di Malaysia dia hanya penulis yang tidak dipedulikan kerana panel mungkin menilai usia seseorang untuk menentukan layak atau tidaknya diberikan pengiktirafan Anugerah Penulis SEA. Rahimidin tidak berpeluang kerana takdir menjemputnya kembali ke alam abadi pada 2015.

Kita ada Faisal Tehrani dan Rosli K Matari yang sehingga kini belum dinilai sebagai penerima Anugerah Penulis SEA seperti yang pernah dimiliki oleh A Samad Said, Baha Zain, Abdullah Hussain, Usman Awang, A Latiff Mohidin,  Arena Wati, Noordin Hassan, Azizi Haji Abdullah, S Othman Kelantan,  Muhammad Haji Salleh, Zakaria Ariffin, Anwar Ridhwan, Zaen Kasturi dan SM Zakir.

Sahabat saya kemudian mengakui secara jujur tujuan penerbitan buku sajak berkenaan ialah untuk membolehkan dia menerima Anugerah Penulis SEA.

"Aku sudah ada 50 buku termasuk sembilan kumpulan sajak perseorangan, 23 antologi sajak bersama, kumpulan manuskrip teater, buku ulasan dan ulang kaji sastera untuk Sijil Peperiksaan Malaysia dan macam-macam lagi," katanya.

Dia juga pernah dijemput sebagai pengajar seni di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan jurulatih seni di sebuah pusat pengajian tinggi. Selain menulis drama pentas, dia juga pernah memenangi hadiah pengarah terbaik di samping berpuluh hadiah sastera yang dimenangi sejak 1980-an.

"Aku lihat ramai orang muda menang anugerah tu," katanya lagi dengan yakin. Penuh harapan.

Untuk tidak menghampakan sahabat yang 40 tahun saling mengenal hati budi, saya menyuarakan beberapa pandangan dan persoalan yang melingkari kesusasteraan Malaysia.

Kekuatan sastera Malaysia bukan sekadar karya dan penulis, juga bagaimana hubungan penulis dengan birokrat seni dan persatuan penulis. Bila kali terakhir dijemput bentang kertas anjuran birokrat seni? Bila kali terakhir hadir majlis baca sajak anjuran persatuan penulis ternama? Adakah kau pernah terima WhatsApp daripada orang tertentu untuk mengajak bersarapan atau makan tengah hari?

Pernah ke rumah sarjana yang menilai pengkaryaan kamu? Pernah bersembang lucu dan lucah serta gelak-gelak bersama di bawah pohon ketapang?  

Adakah kau yakin menang anugerah jika tak kenal siapa-siapa dan mereka langsung tidak  pedulikan kamu?

Dia diam. Mengeluh.

Saya bersimpati bukan sahaja kepada sahabat yang ghairah untuk mengkumpul kumpulan sajak itu, malah ratusan penulis lain yang gagal mendapat penilaian kerana kerenah yang berlaku. Sastera kita terlalu zalim, macam politik Malaysia yang serba gelabah dan huru-hara.

Ramai bernasib baik dulu

Jika anda berada di luar Lembah Klang dan tak kenal siapa-siapa di Kuala Lumpur, jangan berharap untuk dinilai.  

Penulis keturunan Siam, Suwanlerd Propoul, memaklumkan proses penilaian karya untuk Anugerah Penulis SEA di Thailand berbeza berbanding di Malaysia.

"Mereka adakan sayembara dan pilih yang terbaik untuk mewakili negara. Malaysia pula persatuan penulis dan individu yang memilih karya," katanya.

Mengikut rekod,  anugerah itu diberikan kepada penulis dari setiap negara  Asean, sungguhpun bukan semua negara dalam kesatuan itu diwakili setiap tahun. Anugerah berkenaan kadangkala diberikan bagi hasil tulisan khas penulis, atau boleh diberikan bagi pencapaian sepanjang hayat.

Jenis kerja yang dihargai sebegini pelbagai, dan merangkumi hasil kerja puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat dan pengajian dan keagamaan.

Sejak 1979 ramai sasterawan Malaysia dihargai dan pada masa sama lebih ramai yang tidak bernasib baik. Sahabat yang masih bertarung dengan nasib untuk anugerah wajar sedar bahawa bukan semua isu dalam kehidupan ini diiktiraf.

Sastera Malaysia macam skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda. Kita paling corot di Asia Tenggara.

Malangnya sahabat saya itu tidak dapat dihubungi lagi. Mungkin juga projek antologi sajaknya lancar dan dia sedang rancak menulis buku politik terbaru.

Jika dulu dia menghasilkan Malu Apa Bossku, kini mungkin bergelut menyiapkan buku Bossku Tak Tahu Malu!


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.