Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sertai Dewa 19 bagai mimpi buat Ello

Mengakui dirinya tidak boleh menggantikan vokalis-vokalis Dewa 19 yang terdahulu, penyanyi Ello berazam untuk memberikan yang terbaik selepas rasmi menyertai salah satu band terbesar di Indonesia itu.

Ello dilantik sebagai penyanyi terbaru kumpulan itu yang terkenal dengan genre pop rocknya selepas vokalis terdahulu Ari Lasso, Elfonda Mekel alias Once, hingga Virzha.

Pemilik nama sebenar Marcello Tahitoe itu mengumumkan berita gembira tersebut melalui media sosial malam tadi.

“Saya tahu tak akan boleh menggantikan vokalis-vokalis terdahulu. Namun saya akan memberikan yang terbaik untuk band ini.

“Dan untuk keluarga baru saya @baladewafamilia mohon sokongan untuk memulakan perjalanan hidup baru bersama kalian,” katanya.

Jelas Ello, 39, dia tidak percaya impiannya untuk menyertai kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Tak Akan Ada Cinta Yang Lain, Arjuna dan Pupus itu akhirnya menjadi realiti.

Katanya, selama ini dia hanya mampu mengidolakan kumpulan kesukaannya itu dari jauh.

“Saya tak pernah menyangka sedikit pun untuk bergabung dengan @officialbaladewa19. 

“Dari dulu saya hanya mendengarkan dan mengidolakan karya-karya mereka. Namun akhirnya saya diberikan kesempatan ini.

“Seperti mimpi rasanya,” tulis Ello.

Untuk rekod, Ello bukan nama asing dalam pasaran muzik di Indonesia, penyanyi itu dilahirkan pasangan terkenal dalam industri iaitu penulis lagu Minggoes Tahitoe dan penyanyi pop veteran, Diana Nasution.

Ello juga sebelum ini pernah menerbitkan album seperti dengan namanya sendiri pada 2005 dan laku keras selain Taub Mumu yang diluncurkan pada 2012.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen Baladewa di platform YouTube Ahmad Dhani yang dikenali sebagai Video Legend, rata-rata peminat memberi komen positif mengenai vokal Ello melalui persembahan lagu Tak Akan Ada Cinta Yang Lain.

“Suara Ello sangat masuk dan mewakili telinga Baladewa 1990 hingga 2000, vokalnya asli menurut saya, suara beratnya tak dibuat-buat, nada tingginya enak,” kata pemilik akaun Tama Adhi Putra.

Seorang lagi peminat dari Malaysia, Khairudin Adnan berkata, kolaborasi Ello dan Dewa 19 adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu terutama dari sudut arrangement baru.

“Ello membawa lagu ini dengan gaya tersendiri, dia menjiwai lirik, sangat rileks dan santai membuatkan lagu itu menjadi terlalu indah dan sedap didengari.

“Tak puas mendengarnya dan saya ulang berkali-kali. Terima kasih kepada Ahmad Dhani, kamu adalah yang terbaik,” katanya. 

Pada masa sama, dua lagu yang dinyanyikan Ello, Pergi Untuk Kembali dan Kisah Kita Telah Usai menjadi trending di Twitter beberapa jam setelah Ello mengumumkan penyertaannya bersama Dewa 19.