Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aishah kena Covid-19 lagi

Sekali lagi penyanyi Aishah diduga dengan jangkitan Covid-19 selepas enam bulan bebas wabak itu.

Penyanyi Ketentuan Takdir itu berkongsi dirinya positif buat kali kedua namun reda dengan apa yang terjadi meskipun berhasrat untuk menyambut hari raya dalam keadaan sihat tahun ini.

“Ish Covid-19 ni ikut saya balik. Covid-19 ni peminat Janji Manismu ke? Tak apa, mungkin Allah SWT suruh saya berehat lagi.

“Doakan saya ya termasuk semua orang yang sedang mengharungi Covid-19 untuk kembali sihat dan sembuh. Saya memang teringin nak sambut hari raya, tapi dah kena (Covid-19) balik.

“Saya perlu rehat jadi madam sajalah untuk beberapa hari. Arman (anak) pula dah dua kali jadi kontak rapat,” katanya melalui media sosial malam tadi.

Terdahulu, bercakap kepada Malaysiakini, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu mendedahkan dia masih memiliki simptom long Covid-19 walaupun selepas disahkan pulih daripada wabak berkenaan.

Katanya, selama beberapa bulan sebelum ini, deria rasanya masih belum pulih dan memerlukan bantuan anak-anak untuk merasai makanan yang dimasaknya.

“Makan dan minum semua rasa pelik. Bila masin rasa masin pelik, bila manis rasa manis sangat. Yang OK hanya kalau makan makanan masam,” katanya.

Disebabkan masih berdepan simptom tersebut, Aishah menyatakan dia juga perlu melakukan beberapa kali ujian Pengimejan resonans magnetik (MRI).

Berkongsi pada hantaran berbeza, Aishah, beranggapan simptom kurang sihat yang dialaminya itu adalah akibat kesan suntikan dos penggalak jenis Pfizer yang diambil baru-baru ini.

“Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari tu, selepas terima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr Nazlin buat ujian saringan.

“Hari pertama keadaan saya baik-baik saja. Namun, selepas buat ujian melalui kit ujian kendiri, saya didapati positif Covid-19 untuk kali kedua.

“Saya juga buat ujian tu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama (sambil menunjukkan alat ujian itu yang bertanda dua garisan merah),” jelasnya.

Menurutnya, simptom dilalui kali ini amat berbeza hingga membuatnya berasa sakit yang teramat sangat.

Tambahnya, sewaktu dijangkiti sebelum ini dia tidak pernah mengalami batuk atau hidung berair.

“Rasa sakit teramat dan saya betul-betul tak larat. Simptom yang saya alami ni sama seperti simptom klasik Covid-19 yang pernah saya baca sebelum ni.

“Masa mula-mula kena, saya tak ada batuk atau hidung berair. Tapi kali ini, keadaannya sangat teruk,” luahnya melalui video durasi 2.51 saat itu.

Justeru, Aishah memohon semua pihak terutamanya kru-kru yang bertugas di belakang tabir pembikinan muzik video Ketentuan Takdir untuk segera membuat pemeriksaan dan ujian kendiri.

“Kepada semua kru produksi yang terbabit dalam penggambaran muzik video Ketentuan Takdir dan petugas di pusat pemberian dos penggalak, saya harap anda semua dapat membuat pemeriksaan kerana menjadi kontak rapat saya,” katanya.