Ditemani lelaki halal buat Zulin teruja ke Mekah lagi
Meskipun berada di depan Kaabah bukanlah asing buatnya namun Zulin Aziz mengakui tawaran untuknya berkunjung ke situ semula selepas bergelar isteri sangat bermakna.
Malah kata Zulin, dia mengalirkan air mata kerana tawaran itu seolah-olah doanya dimakbulkan serta-merta.
Mengisahkan kejadian pada Dis tahun lalu itu, Zulin memberitahu pada suatu hari selepas selesai menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram dan memanjatkan doa agar diberi kesempatan untuk datang ke situ lagi.
“Tiba-tiba saya terima mesej undangan (melalui telefon) daripada abang Faizal Ismail (penyampai radio yang juga dikenali sebagai FBI) untuk menunaikan umrah semasa Ramadan nanti.
“Memang pada waktu tu saya terkejut sebab susah nak percaya sampai menangis di situ juga.
“Kiranya doa saya diperkenankan oleh Allah SWT serta-merta. Baru saja sebut terus dapat jemputan tu,” jelasnya.
Menurut pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu, undangan tersebut menjadi sangat bermakna kerana kunjungannya tidak lama lagi akan disertai lelaki yang sudah halal untuknya, Farhan Norzaini.
Justeru kata penyampai radio - yang baru bernikah pada 20 Feb lalu - itu, umrah pada Ramadan nanti itu juga bolehlah dianggap sebagai bulan madu mereka.
Dia juga yakin pengalaman umrah yang akan ditempuh kali ini akan menjadi berbeza kerana dia sudah bergelar isteri.
Ambil langkah berjaga-jaga
Tambah Zulin sebelum ini memang dia pernah ke Tanah Suci bersama Farhan namun ketika itu mereka belum berkahwin.
“Umrah pada bulan Ramadan nanti kami akan pergi sebagai pasangan suami isteri, pengalamannya pasti berbeza,” katanya.
Zulin berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Umrah Syabibah Travel dan Tours bersama selebriti tanah air di sebuah restoran di Seri Kembangan semalam.
Selain Zulin, pakej umrah itu akan turut disertai pelakon seperti Saharul Ridzwan, Bell Ngasri, dan FBI sendiri.
Diminta mengulas mengenai kebimbangannya berhubung penularan virus Covid-19 yang masih belum reda, Zulin, 32, berkata dia tidak gusar sangat untuk ke Mekah walaupun pernah dijangkiti wabak itu sebelum ini.
Menurutnya, dia akan mengambil langkah berjaga-jaga malah sudah tahu prosedur yang perlu dilakukan sekiranya berdepan jangkitan Covid-19.
“Kali pertama pergi, belum ada kes Covid-19 langsung, tapi kali kedua pergi sampai terkandas di Madinah.
“Masa tu jadi tak berapa seronok kerana ada jemaah yang kena tahan, tapi saya dihantar pulang. Tapi tiba saja di Malaysia terus positif Covid-19.
“Saya dah pernah dijangkiti, jadi tahu apa yang perlu dilakukan. Niat kita baik untuk beribadah, pergi sajalah tak ada yang hendak ditakutkan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai