Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ernie, Syamel sambut anak sulung, Jamal timang anak kelima 22.2.2022

Pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel hari ini selamat menimang cahaya mata sulung mereka pada jam 10.14 pagi tadi.

Berita gembira itu dikongsikan pasangan itu di akaun Instagram masing-masing.

Bagaimanapun, mereka tidak memaparkan wajah bayi berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, cinta hati ibu dan daddy selamat dilahirkan jam 10.14 pagi tadi.

“Senang daddy nak ingat tarikh lahir - 22.02.2022. Doakan kesihatan anak solehah Bangmel dan Kak Ninie.

“Semoga mereka berdua berada dalam keadaan baik dan sentiasa dalam rahmat-Nya,” tulis Syamel mengiringi hantarannya.

Walaupun tidak mendedahkan nama serta jantina bayi mereka, tetapi dengan perkataan “anak solehah”di kapsyen, umum sudah boleh meneka bahawa anak sulung mereka itu adalah perempuan.

Ernie juga sebelum ini pernah menjadi bualan ramai kerana membuat persembahan dengan baik sewaktu menyampaikan lagu Boneka di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik yang lalu meskipun sedang sarat mengandung.

Boneka layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 yang akan bersiaran pada 6 Mac ini. Namun, hingga kini Ernie belum mendedahkan siapakah penyanyi yang akan menggantikan tempatnya untuk berentap di pentas akhir AJL36.

Turut berkongsi berita gembira adalah penyanyi Jamal Abdullah, yang mendapat anak kelima, juga pada tarikh istimewa ini.

Diberi nama Iskandar Rayyan Yamani, Jamal berkata bayi seberat 2.84 kilogram itu dilahirkan isterinya, Zai Izzati Khiruddin secara pembedahan pada petang tadi.

"Jujurnya, saya gementar bercampur teruja. Maklumlah, menjadi ayah pada usia 63 tahun, ia satu nikmat yang tidak dapat dibayangkan.

"Impian saya dan isteri menyambut anak kelima pada tarikh cantik seperti hari ini juga dipermudahkan," katanya seperti dipetik BH Online.