Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menyusukan anak di tempat awam tolong jaga adab, aurat - Liza Hanim

Demi memelihara kehormatan sebagai wanita Muslim, penyanyi Liza Hanim tampil menegur seorang usahawan yang menarik perhatian ramai apabila menyusukan anaknya di tempat awam dan dianggap mencolok mata.

Kata Liza, sebagai seorang ibu yang pernah menyusukan anak sendiri di tempat awam, dia tidak keberatan sekiranya wanita terbabit ingin menjalankan tanggungjawabnya di mana-mana.

Cuma pesan Liza, biarlah keperluan itu dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti orang di sekeliling.

“Saya terpanggil untuk suarakan pendapat. Baru baru ni ternampak seorang usahawan menyusukan anak di khalayak dan ambil gambar.

“Sebagai seorang ibu yang menyusukan anak anak saya sepenuhnya, saya menyokong usahawan ini untuk perjalanan menyusukan bayinya.

“Namun sebagai seorang saudara Islam saya memohon tolonglah menjaga adab ketika menyusukan bayi di tempat awam,” katanya di media sosial hari ini.

Terdahulu, usahawan yang sering terpalit kontroversi ciptaan dikecam kerana menyusukan anaknya yang baru berusia dua bulan di sebuah restoran dipercaya di Kuala Lumpur.

Bukan berniat serong

Perkongsian video tersebut mengundang kecaman ramai kerana anak pelakon veteran itu tidak memakai pelindung penyusuan untuk menyusukan anaknya di tempat terbuka.

Bukan setakat itu, wanita terbabit turut mengundang kritikan disebabkan penampilannya yang seksi selain dilihat sengaja mendedahkan bahagian dada yang tidak sepatutnya.

Menurut pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, dia juga pernah merakamkan aksi menyusukan anak namun berhati-hati menjaga aurat.

Katanya, dia takut ia mengundang rasa tidak senang pihak yang memandang.

“Saya sendiri menyusukan bayi saya di mana mana saja. Malah pernah di tepi jalan di Seoul. Dan ya, saya merakamkan gambar juga. Tapi kita harus menjaga adab.

“Ni bukan masalah saya berhijab dan dia tidak. Kita perlu jaga kehormatan kita sebagai wanita dan ibu.

“Allahu Akbar. Sedangkan kita menutup dengan sesungguhnya menyusukan pun masih dipandang serong. Ni apatah lagi dalam keadaan saya lihat usahawan itu,” katanya.

Tambah penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu, dia yakin seseorang yang sentiasa menjaga aurat dan adab pasti dimurahkan rezeki.

Kata Liza, 42, dia tidak berniat bukan-bukan namun, teguran juga dibuat pada masa sama untuk mengingatkan dirinya sendiri.

“Jaga kehormatan kita sebagai wanita. Jaga agama kita sebagai Islam. Insya-Allah, berkat usaha kita murah rezeki kita nanti. Ni saya bersuara untuk diri saya juga,” katanya.