Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tatu pada badan? Pergi mampuslah, kata Alicia

Model dan aktres sensasi Alicia Amin ternyata berasa jengkel apabila isu tatu pada badannya terus menjadi perhatian walaupun ia sudah mula diperkatakan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Justeru dia menegaskan tatu yang dicacah pada badannya itu bukan masalah besar malah dia bersedia untuk 'menyembunyikan' tatu berkenaan sekiranya diminta berbuat demikian semasa berlakon.

“Tatu ni adalah diri saya sebagai Alicia Amin, dan ia juga adalah pilihan peribadi.

"Kalau ada pihak produksi meminta saya melakonkan watak bertudung dan bertutup sepanjang masa, saya tutuplah (tatu itu), mudah saja.

“Untuk membawa watak saya sanggup lakukan apa saja. Cuma jika ada orang masih tak puas hati, saya minta maaf kerana mengambil masa kamu dan pergi mampuslah... Ini badan saya," katanya.

Alicia menambah dia melibatkan diri dalam dunia lakonan untuk menunjukkan bakat yang ada dan beranggapan tatu itu tidak mengacau hidup sesiapa pun.

Pemilik nama penuh Raja Alicia Raja Amin itu turut memberikan contoh bagaimana dia pernah membuat perubahan penampilan dalam drama apabila diminta untuk melindungkan hiasan pada badannya dalam I Promise Janji Anaqi.

Untuk drama itu, katanya, pihak produksi meminta dia menutup tatu berkenaan dan ia dilakukan tanpa banyak masalah.

“Sekiranya ada pihak ingin meminta saya menutup tatu ini, saya boleh gunakan bahan yang diimport dari AS, cuma dari segi kos bayaran upah saya akan bertambah mahal,” katanya.

Alicia berkata demikian selepas majlis tayangan filem terbaru lakonannya The Disappearance of Irdina Adhwa di Petaling Jaya kelmarin.

Filem itu mendapat sentuhan arahan anak jati Sabah, Kyle A Halim, dan bakal ditayangkan di Astro First pada 24 Feb ini.

Mengenai penampilannya yang bertatu tanpa berselindung dalam filem tersebut, Alicia berkata pada awal dia agak bimbang sekiranya naskhah itu tidak dilulus untuk tontonan umum.

“Ya pada awal memang ada kebimbangan tu, lepas atau tak lepas (untuk tayangan). Tapi Kyle memang tak ada minta untuk tutup tatu.

“Dan dalam cerita itu watak Sofia juga tak ada kaitan dengan agama sama ada dia Muslim atau tak, jadi tak timbul persoalan mengenai wajar atau tak wajar dia memiliki tatu,” katanya.