Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Sastera bukan untuk dibinatangkan

ULASAN SENI | Suatu hari penyair Sutung Umar RS berbisik di telinga: "Tongkat Warrant (Usman Awang) kirim salam. Dia minta dua tiga sajak kes Anwar (Ibrahim) kena belasah dalam tahanan..."

Perbualan di bilik berita itu berlangsung dengan amat hati-hati. Tahun 1998 dan 1999 adalah detik kritikal dan mencabar. Wartawan Berita Harian saling mengingatkan sesama sendiri bahawa ‘dinding pun boleh mendengar’ (dan bercakap) apabila isu Anwar diperkatakan.

Wartawan bimbang kehilangan kerja kerana ketika itu media diarahkan untuk menyiarkan isu liwat Anwar.

Buku 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tak Boleh Jadi PM karya Khalid Jafri menggemparkan politik negara. Sama ada buku berkenaan beretika atau tidak, tak perlu dipersoalkan lagi.

Kami disogokkan untuk percaya bahawa kes liwat berlaku dan Anwar seorang lelaki yang tidak boleh menjadi pemimpin selepas Dr Mahathir Mohamad.

Saya menghubungi Usman beberapa hari kemudian.

"Betul ke abang mahu sajak liwat?" tanya saya.

Dia tergelak. "Bukan liwat," katanya dalam nada lemah, "saya mahu puisi bertema kemanusiaan dan hak asasi. Karya yang polos dan jujur mengenai bangsa yang berkemelut.”

Menguji kelangsungan Melayu

Kesihatan Usman ketika itu memang semakin meruncing.

Saya menghormati Usman kerana hubungan rapat dan pernah terbabit membaca puisi bersama penyair Indonesia, WS Rendra, anjuran bank terkemuka di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun apabila beberapa puisi saya termuat dalam kumpulan Dari Derita Bangsa yang diterbitkan pada 2001, pelbagai persoalan mula melingkari.

Apakah saya sudah menjadi sebahagian daripada makhluk politik kepartian yang menyokong sesuatu pihak dan mengganyang pihak yang lain? Apakah buku yang diselenggara oleh Usman dan Dino SS akan menjadi mangsa politik kepartian?

Perlukah sasterawan memihak atau menjadi alat kepada elitis politik?

Suasana politik pada 1998 amat menguji kelangsungan bangsa Melayu. Ramai yang keliru antara fakta dan tohmahan. Ramai juga yang menduga Melayu bakal musnah ekoran pertelagahan yang membabitkan isu undang-undang, moral, siasah dan cita-cita peribadi.

Ada juga sanggup menjadi hakim, sekali gus pendakwa untuk menentukan kesahihan sesuatu kes mahkamah. Ada ketikanya perbicaraan di luar mahkamah dan internet lebih hebat serta hangat, kaya dengan drama dan intrignya.

Kumpulan puisi Dari Derita Bangsa (Pustaka RBHI; ISBN: 983-40691-0-3) turut memuatkan karya 20 penyair tersohor tanah air termasuk Usman Awang, A Samad Said, Dinsman, Kemala, Muhammad Haji Salleh dan Dr Siti Zainon Ismail.

Politikus dan peguam, Hassan Karim, turut menyumbang tiga sajak.

Politikus sukar dijangka

Sutung tidak menyerahkan sajak untuk penerbitan buku berkenaan atas sebab tersendiri. Saya faham masalahnya, kerana dia baru dilantik sebagai editor sastera Berita Harian!

Usman yang saya kenal ialah insan yang menentang usaha membinatangkan sastera. Dia yakin sastera adalah suara kemanusiaan sejagat, bukan alat penguasa untuk mengekalkan kekuasaan. Kuasa boleh datang dan pergi.

Sastera dan sasterawan akan kekal sepanjang zaman walaupun penulis sudah tiada lagi.

Usman juga pernah terbabit dalam gerakan massa ketika membantah usaha merendahkan bahasa Melayu sebagai medium utama. Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita, adalah karya yang jujur mengenai kedaulatan bahasa dan bangsa yang kian tercabar.

Ramai penulis menganggap makhluk politik sukar dijangkakan dan pertimbangan mereka lebih terarah kepada kepentingan kuasa dan peti undi.

Buku itu diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada 2002 selepas himpunan tulisan berbentuk stensilan pada 1968 yang memperingati ulang tahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967).

Ia menceritakan detik penentangan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 3 Mac 1967.

Sejak berzaman, sejarah sastera dan politik tidak pernah reda. Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad pernah melahirkan Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila - karya satira politik yang tidak diiktiraf oleh bangsa Malaysia sendiri. Malang!

Bagaimanapun karya Shahnon Ahmad, Shit!, menggemparkan pentas politik tanah air. Shahnon dengan lantang mengkritik tokoh yang memperalatkan kuasa, undang-undang dan ekonomi untuk mengekalkan pengaruh.

Karya yang secara polos dan tidak berselindung itu amat mudah dimengertikan apatah lagi diterbit dan edarkan ketika suasana hangat 1998. Shahnon juga menulis cerpen Piem yang tersiar dalam Dewan Sastera pada 1988 dan menyebabkan seorang editor DBP bertukar jabatan!

Saling memberi ilham

Penulis Yahya Ismail pula menghasilkan cerpen Maharaja Beruk yang mengisahkan pertarungan dalaman sebuah parti politik pada 1987. Karya satira itu melonjakkan jualan Dewan Sastera.

Novel Interlok karya Abdullah Hussain bukan karya politik, tapi dipolitikkan oleh golongan yang hanya menang empat kerusi parlimen selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008. Interlok menjadi mangsa percaturan kuasa walaupun karya itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa menentukan suasana siasah negara.

Muhyiddin Yassin yang bertanggujawab menarik karya besar itu menjadi teks di sekolah tanpa penjelasan pada 2012 kerana kepentingan politik BN.

Timbullah persoalan: apakah sastera dan politik saling bersengketa, atau saling memberi ilham untuk orang politik lebih berwatak dan sasterawan menjadi pencatat zaman yang curiga?

Yang pasti usaha terancang sedang berlaku untuk membinatangkan sastera.

Mereka guna alasan untuk kepentingan Melayu dan sastera apabila mendekati tokoh politik. Pada era Pakatan Harapan memerintah, mereka berusaha untuk menemui Mahathir kononnya mahu memberi pandangan tentang nasib sastera dan bahasa.

Apabila gagal menemui Mahathir, mereka menghadap Anwar di Petaling Jaya pula.

Pada era Perikatan Nasional, mereka berusaha menemui Muhyiddin dengan alasan yang sama. Tak dapat jumpa perdana menteri, mereka menemui Saifuddin Abdullah.

Jika kerajaan baru terbentuk pada PRU akan datang, wajah-wajah yang sama juga akan berduyun-duyun menghadap pembesar negara dengan alasan yang mereka sendiri sedia maklum.

Mutu tidak sebanding

Sastera dan sasterawan sudah lama dibinatangkan oleh mereka yang kononnya tokoh, sarjana, cendekiawan dan intelektual.

Jangan terperanjat Malaysia tidak akan memenangi Hadiah Nobel Sastera kerana ukuran sastera kita sudah lari daripada yang sepatutnya.

Jika Indonesia hampir menerima Hadiah Nobel Sastera melalui karya Pramoedya Ananta Toer, kita masih leka dengan budaya membodek untuk menjadi binatang kepada makhluk politik.

Justeru, karya yang terpilih untuk diangkat memenangi Hadiah Sastera Malaysia adalah klise dunia sepi dan riuh rendah semasa.

Pemenang Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) dari Malaysia jauh lebih rendah mutunya berbanding wakil dari Thailand dan Indonesia.

Mereka pilih karya berbobot dan terbilang, kita pula memilih penulis yang ada hubungan dengan birokrat seni dan gerombolan yang menghadap pembesar politik berkali-kali.

Tiga puluh tahun lalu Samad pernah bersuara tentang birokrat seni yang kurang reti, kurang rasa, kurang visi. Semua itu masih berlaku pada hari ini kerana sastera dan sasterawan sudah dibinatangkan secara berjemaah dan bersiri-bersiri.


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.