Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hail Amir kini bergelar Datuk

Penyanyi dan pelakon popular 1970-an, Hail Amir, menyifatkan pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) kepadanya - yang membawa gelaran Datuk - merupakan pengiktirafan terindah sepanjang lebih 50 tahun menghambakan diri dalam dunia seni tanah air.

Dia yang popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu berkata kurniaan tersebut adalah satu penghargaan dan ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat setianya selama ini.

"Saya rasa amat terharu dengan penganugerahan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih mengingati dan meminati insan bernama Hail Amir ini," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Karier seni Hail bermula sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 1970-an.

Dia kemudian ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya Jiwa Remaja di samping Uji Rashid dan Yusof Haslam. Antara filem lain yang dilakonkannya ialah Menanti Hari Esok, Ribut Barat dan Anita Dunia Ajaib.

Bakat Hail dalam bidang seni suara pula dikesan oleh komposer terkenal, Ahmad Nawab, sehingga lahirnya lagu popular Wajah Kesayangan Hamba.

Bapa kepada empat cahaya mata berasal dari Pulau Pinang itu masih aktif memenuhi undangan nyanyian.

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Hail menghasilkan 12 album selain turut terkenal dengan nyanyian bersama Uji Rashid.

Antara lagu popular pasangan duet itu ialah Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu Dan Mataku, Asmara Bergelora dan Seloka Hari Raya.

Pada istiadat di Istana Negara pagi tadi, Hail bersama 58 individu lain menerima darjah kebesaran PMW sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly dan bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee.

- Bernama