Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pian Cecupak meninggal dunia malam tadi

Pelawak Pian Cecupak meninggal dunia di rumah ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul, malam tadi.

Allahyarham yang berusia 51 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 malam.

Seorang ahli keluarganya berkata, ibu Pian menemui pelawak terbabit terjatuh dalam tandas rumah.

Bagaimanapun, punca kematian tidak dapat dikenal pasti setakat ini.

Pada 2018, media melaporkan Pian mengakui perlu menjalani rawatan jantung dengan segera dan memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000.

Pian ketika itu berkata, doktor menasihatinya supaya segera melakukan pembedahan berkenaan kerana masalah tekanan jantung yang dihidapinya amat serius.

Adik Allahyarham, Hasenah, berkata kematian Pian dipercayai berpunca daripada masalah serangan jantung.

“Arwah sememangnya mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja.

“Sejak kebelakangan ini, kesihatan arwah memang agak merosot. Dia selalu juga mengadu sakit dada.

“Mak jumpa arwah dah terbaring dalam bilik air sekitar pukul 8 malam tadi. Kemudian bawa ke hospital dan dapat pengesahan doktor pada 10.30 malam,” katanya.

Jenazah yang kini berada di kediaman ibu mereka akan dikebumikan sebelum Zuhur.

Terdahulu, sewaktu menyertai program Sinaran terbitan TV3, arwah bergandingan dengan Yassin Yahya membentuk duo dinamakan Gla Gla.

Dia kemudian diserap masuk ke dalam sitkom Cecupak bersama barisan peserta akhir yang lain terdiri daripada Ropie, Usop, Pak Jaih dan Allahyarham Pak Lah.

Allahyarham bercerai dengan bekas isteri pada 2000 dia dikurniakan dua orang anak iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin.