Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aliff Aziz tak digemari jadi Juara GV8

Nama Nikki Palikat disebut-sebut di Twitter sejak malam tadi apabila penyanyi itu gagal dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Ramai dalam kalangan peminat melahirkan rasa tidak puas hati melalui media sosial apabila Nikki tidak menjadi pilihan pihak penganjur, Astro sebaliknya Aliff Aziz diangkat sebagai juara.

“Ini ialah pertandingan menyanyi, kamu ada Nikki, yang boleh menyanyi dalam apa saja bentuk key ditambah dengan persembahan pentas.

“Kemudian ada pula Aweera dan Suki Low, yang mempunyai vokal lebih bagus daripada segi genre tapi kamu berikan kemenangan kepada… seorang lelaki biasa-biasa yang berdepan isu pada zaman remajanya,” ciap seorang pengguna akaun Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter menciap: “Apa benda ni? Nampak sangat nak naikkan Aliff. Saya sokong Aliff tetapi keputusan malam tadi sangat obvious (jelas). Nikki dan Suki buat persembahan lagi bagus.

“Buat pertama kali saya rasa nak nangis (menangis) tengok GV. Patutnya Suki atau Nikki tapi kenapa Aliff? Sejujurnya, kecewa dengan keputusan musim ini,” ciapnya.

Pengguna Twitter lain pula berkata, dia sedikit pun tidak terkejut dengan keputusan GV8 malam tadi.

“Ni semua scripted (mengikut skrip). Saya tak mahu tulis namanya dalam Tweet saya. Bagus Nikki, tahniah dan juga kepada Aweera, Adibah Noor, Suki dan Azan Scan.

“Kamu tahu? Saya sebenarnya tak terkejut. Final GV memang selalu entah apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, ramai juga tidak berpuas hati apabila peserta terbaik peringkat separuh akhir, Aweera ‘terduduk’ di posisi keenam.

Bagaimanapun, mereka tetap memandang positif kekalahan pemilik nama sebenar, atau nama penuhnya Nasharul Aweera Norhissham itu.

“Tahniah. Saya tetap berbangga walaupun Aweera bukan juara GV8 tetapi dia tetap juara di hati peminat.

“Aweera memang terbaik tak sangka dia nombor 6,” ciapnya.

Malam tadi, Malaysiakini melaporkan, peserta yang didakwa sebagai anak emas Astro, Aliff Aziz menepati ramalan apabila dia menjuarai GV8.

Selepas 10 minggu berentap, penyanyi kelahiran Singapura itu berjaya menundukkan lima peserta lain, terutama Nikki Palikat dan Suki Low yang disebut-sebut sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Juri Ramli MS dalam sidang media berkata, Aliff banyak mengumpul mata dan mendahului markah peserta lain kerana nyanyiannya melalui lagu Dealova - nyanyian asal Once - bersama pasangan duetnya, Hafiz Suip serta lagu solo, Sampai Syurga (Faizal Tahir).