Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Upah dua pengawal peribadi bukan tanda Nynaa dipaksa suami

Meskipun mengupah dua pengawal peribadi, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas mengakui dia tidak memaksa isterinya, Nynaa Harizal, untuk akur semata-mata padanya.

Fahmi sebaliknya berkata, langkah berkenaan itu diambilnya bagi memastikan pisang tidak berbuah dua kali.

Berdepan kontroversi mendakwa isterinya diculik sebelum ini, Fahmi berkata, dia perlu berjaga-jaga selepas peristiwa hitam yang melanda perkahwinan mereka.

“Kalau ada orang keluarkan pistol (lagi), saya terpaksa ada pengawal peribadi,” katanya.

Mengulas campur tangan keluarga dalam sesuatu isu, Fahmi menegaskan mana-mana pihak wajar memahami batasan masing-masing sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Apa saya boleh cakap, semua orang kena tahu batasan masing-masing.

“Bukanlah maksud saya bahawa isteri perlu meletakkan suami di nombor satu, sebab keluarga sama pentingnya. Tapi, keluarga juga perlulah tahu batasan-batasan mereka.

“Kita bukan patung atau robot. Anak memang tetap anak, tapi ibu bapa perlu terima bahawa anak-anak mereka akan meningkat dewasa,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mic On! musim kedua di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, bapa Nynaa, Harizal Hashom, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki.

Suami kini jadi keutamaan

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reda Ahar Rezali pada 11 Nov lalu. 

Kejadian itu berlaku ketika episod Nynaa didakwa Fahmi dilarikan oleh keluarganya. Namun, Nynaa, 25, kemudian tampil menafikan dia diculik atau dipaksa ibu bapanya. 

Susulan itu, Nynaa memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru pada 10 Nov lalu.

Namun, kedua-duanya bersetuju untuk berdamai tidak lama selepas itu. 

Mengulas lanjut, pelakon Kekasih Paksa Rela itu berkata, hubungan dia dengan keluarganya kini baik-baik saja, tetapi mereka sudah tidak serapat dulu.

“Tipulah kalau saya cakap hubungan dalam keluarga tak ada masalah. Sekarang saya harap semuanya kembali normal.

“Sebelum ni, saya rapat dengan semua ahli keluarga termasuklah ibu, bapa, kakak dan saudara-saudara sebab saya orang yang selalu mengutamakan keluarga.

“Namun, keutamaan sekarang adalah suami saya,” katanya.

Mengakui insiden terbabit berlaku tanpa diduga, Nynaa berkata, hidupnya bagai hampir gila apabila tidak berpeluang bertemu suami buat sementara waktu.

“Saya akui begitu (hampir gila). Memang apa yang jadi sangat sukar dan menyusahkan hidup. Sebenarnya, sukar untuk saya jelaskan lebih terperinci di sini.

“Pada ketika itu saya tak ada akses kepada telefon atau apa saja alat untuk berhubung dengan dunia luar.

“Kami hanya sempat berjumpa sekejap di mahkamah di Johor,” katanya.