Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jati diri Orang Asli dari lensa Ronnie Bahari

MALAYSIANSKINI | Ketika Ronnie Bahari mula-mula mengambil gambar, dia hanya ada buku panduan sebagai bimbingan. Ini pada era peralihan alaf baru, semasa Ronnie berusia dua puluhan sebelum ketibaan zaman tutorial YouTube dan TikTok.

Di sekolah, dia tahu minatnya dalam fotografi tetapi tidak mampu membeli kamera seperti beberapa rakan sebayanya. 

Hanya ketika dia berumur 24 tahun barulah dia membeli kamera pertamanya.

“Kini, (belajar mengenainya) lebih mudah dengan YouTube dan semua itu. Terdapat begitu banyak platform untuk belajar tentang fotografi dan ramai orang berkongsi pengetahuan itu.

“Pada tahun 1990an ketika saya bermula, tiada siapa yang benar-benar berkongsi pengetahuan tentang fotografi ini.

"Jurugambar lain lebih bimbang jika mereka mula berkongsinya, periuk nasi mereka pula akan mengecil," kata seniman berusia 44 tahun itu kepada Malaysiakini.

Apabila ditanya apa yang dia suka tentang fotografi, Ronnie (gambar, bawah) bercakap mengenai minatnya terhadap karya potret.

“Saya suka ambil gambar muka orang. Jika mereka kanak-kanak, sebagai contoh, kita dapat melihat kejujuran di wajah mereka.

“Jika mereka jauh lebih tua, wajah mereka menjadi lebih menarik kerana pengalaman hidup mereka, anda boleh mendapatkan banyak daripada raut ekspresi mereka - sama ada kegembiraan atau kesedihan. Ia sangat menarik,” katanya.

Katanya, dia "sangat bertuah" kerana fotografi bermula sebagai hobi yang menjadi kerjaya untuknya kemudian.

Selepas sekolah menengah, berbagai pekerjaan telah dilakukan Ronnie, dari agensi pelancongan hingga bekerja di Jabatan Penerangan, yang kemudian menghantarnya untuk latihan bagi mengasah kemahiran fotografinya.

18 suku Orang Asli Semenanjung

Ronnie - yang kini berpangkalan di Ipoh, Perak - dilahirkan di Hospital Orang Asli Gombak tetapi dibesarkan di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Menurut Ronnie, dia dibesarkan dalam keluarga besar bersama lima lagi adik-beradik. Ayahnya dari suku Temuan manakala ibunya berasal dari suku Semai.

Pada sebahagian besar karya Ronnie, dia memaparkan wajah orang Asli yang rapat dengannya - rakan dan keluarga.

Bagaimanapun, dia berharap dalam jangka masa panjang dia akan dapat merakamkan potret kesemua 18 suku kaum Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan mendalami lagi aspek teknikal fotografi.

Setakat ini, dia hanya menampilkan karya potret daripada lapan suku Orang Asli.

Untuk rekod, 18 suku Orang Asli Semenanjung itu tergolong dalam tiga kumpulan iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto.

Bagi kumpulan Negrito, suku kaumnya ialah Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq.

Dalam kumpulan Senoi, suku kaumnya pula ialah Temiar, Semai, Semoq Beri, Jahut, Mahmeri dan Che Wong.

Sementara itu suku kaum dalam kumpulan Melayu Proto ialah Orang Kuala, Orang Kanaq, Orang Seletar, Jakun, Semelai dan Temuan.

Ronnie - yang kini berpangkalan di Ipoh, Perak - dilahirkan di Hospital Orang Asli Gombak tetapi dibesarkan di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Pada bulan Disember, Ronnie menyertai Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021 - pameran seni tahunan yang dianjurkan oleh agensi kebudayaan People Of Remarkable Talents (Port), Ipoh, bawah kelolaan Kampung Karyawan Amanjaya, suatu inisiatif kerajaan Perak.

Ini kali kedua Ronnie mempamerkan karyanya pada festival tersebut.

“Sambutan orang ramai menarik apabila mereka mula bertanya ‘Siapa yang mengambil gambar ini?’.

"Apabila mereka mengetahui jurugambar di sebalik kerja itu juga Orang Asli, mereka mempunyai lebih banyak soalan - seperti bagaimana saya mula terlibat bidang fotografi dan sebagainya," katanya.

Dia berkata walaupun sebilangan pengunjung yang melihat karyanya mengenali Orang Asli melalui pengalaman peribadi, sebahagian besar masyarakat umum tidak mengetahui banyak tentang masyarakat Orang Asli.

“Mereka hanya mengenali Orang Asli daripada gambar dan buku. 

"Gambar-gambar yang ditunjukkan oleh jurufoto lain kepada khalayak biasanya menunjukkan apa yang dilihat sebagai Orang Asli 'tulen' - yang mempunyai rambut keriting, kulit gelap, hidung lebar.

"Ia sangat stereotaip, bukan? Orang Asli lebih daripada sekadar gambaran itu,” katanya.

“Saya cuba mempersembahkan Orang Asli (dengan cara yang) berbeza daripada apa yang ditunjukkan oleh jurugambar lain. 

"Saya cuba mendokumentasikan rupa Orang Asli sebenar hari ini, untuk menunjukkan bahawa tanggapan ramai orang tentang Orang Asli adalah sangat berbeza daripada realiti.

"Itu juga sebab saya memaparkan busana tradisional dalam gambar saya," tambahnya.

'Jakun, Sakai jadi istilah menghina'

Jelasnya, terdapat dua sisi dalam amalan keseniannya - pertama untuk mendidik orang ramai tentang budaya Orang Asli, kedua untuk membuat masyarakatnya berasa yakin mengenai jati diri mereka.

“Stereotaip ini menyebabkan masyarakat Orang Asli berasa lemah dan kurang keyakinan diri.

“Sebelum ini, mereka selalu menggunakan gambar buruk untuk menunjukkan Orang Asli dan untuk menghina orang lain dan mengatakan sesuatu yang buruk, mereka akan merujuk kepada Orang Asli menggunakan perkataan seperti ‘Jakun’ dan ‘Sakai’.

“Apa yang saya lakukan di sini adalah untuk memberi nafas baru dan keyakinan kepada masyarakat Orang Asli. 

"Kami akan mendidik orang ramai untuk mengenali Orang Asli hari ini - bukan mereka yang berasal dari masa lalu,” kata jurugambar suku Temuan-Semai itu.

Bagaimanapun, Ronnie mendakwa dia mula melihat perubahan ini berlaku dalam kalangan anak muda - dengan ramai yang berbangga dengan jati diri mereka apabila menggayakan busana tradisional mereka di majlis perkahwinan dan perayaan lain.

Dalam pada itu, pandemik Covid-19 merupakan masa yang sukar untuk Ronnie secara profesional. Dengan interaksi manusia menjadi teras karya fotografinya, pergerakan Ronnie menjadi terbatas kerana kawalan pergerakan.

"Wabak ini waktu yang sangat menyedihkan kepada saya kerana saya tidak dapat keluar, saya tidak dapat pulang ke kampung atau melawat sesiapa di sana, dan saya tidak dapat membina hubungan saya dengan orang yang saya rancang untuk mengambil gambar.

“Biasanya, gambar yang saya ambil datang selepas satu tempoh masa di mana saya membina hubungan dengan bakat yang saya bekerjasama itu. Saya mahu mereka berasa yakin dan percaya dengan apa yang saya lakukan.

“Jadi, wabak itu bukan sahaja melambatkan kerja saya. Ia menghentikannya. Kerana terperangkap di rumah, saya banyak berkarya dengan gambar lama saya,” kata Ronnie.

Mengulas lebih lanjut mengenai hubungannya dengan bakat karya potretnya, dia menjelaskan zaman berubah kerana tidak ramai yang gemar bergambar seperti dahulu.

“(Dulu), kami tidak perlu meminta kebenaran mereka untuk mengambil gambar mereka. 

"Pada masa kini, kita perlu memujuk mereka, membina hubungan dengan mereka dan mendapatkan penghormatan mereka terhadap apa yang kita lakukan sebelum mereka bersetuju untuk mengambil gambar mereka.

"Walaupun begitu, masih tiada jaminan," katanya, memberi contoh dia menghabiskan masa setahun cuba meyakinkan seseorang bakat tertentu untuk diambil gambarnya.

Pada masa ini, Ronnie sedang mendalami beberapa projek. Salah satunya melibatkan membuat lakaran gua di sepanjang Lembah Kinta - berkaitan dengan kebudayaan Orang Asli dan sejarah zaman berzaman dengan tanah mereka.

Dia juga meneruskan siri potret Orang Asli yang sedang berjalan - dengan kelulusan Jabatan Orang Asli (Jakoa) untuk mengambil gambar kesemua 18 suku di Semenanjung Malaysia.

Selain giat berkarya dalam seni fotografi, Ronnie juga merupakan pengerusi Persatuan Kebudayaan Dan Kesenian Orang Asal Perak (PKKOAP).

Melalui organisasi itu, dia cuba mengangkat budaya Orang Asli dan menjalankan lebih banyak kajian terhadap bahasa, sejarah dan seni masyarakat itu.

“Matlamatnya untuk (menarik minat) golongan muda. Saya fikir mereka adalah generasi akan datang jadi jika mereka tidak meneruskan seni dan budaya kami, siapa lagi yang nak buat? 

"Itu akan menjadi penamat kepada kami,” katanya.

[Baca berita asal]


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.

Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Separuh Melayu separuh Cina, hasrat Jamaliah rapatkan jurang kaum

Yuna impikan dunia lebih baik, sembuh dari duka Covid-19

Douglas Lim - dari pentas 'stand-up' ke video parodi

Iklim dalam krisis: Ili Nadiah tak boleh diam

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh