Isteri tak cemburu Lan Solo berpegangan dengan Ratu KK
Setia pada yang satu, demikian akui Lan Solo apabila adegan bersentuhan dengan seorang Ratu Cantik Kota Kinabalu, dalam video muzik terbarunya dikatakan boleh mencetuskan rasa cemburu isteri.
Kata penyanyi itu, hal sedemikian tidak mungkin berlaku memandangkan sewaktu mereka menjalani proses rakaman video muzik lagu berjudul 5 Kaki 4 Inci, Sheila Hassim ada menemaninya sepanjang masa.
“Saya seorang lelaki yang setia pada satu. Isteri juga memahami ia hanya demi tuntutan kerja. Dia ada bersama-sama di Sabah sewaktu penggambaran berlangsung.
“Apa boleh saya katakan, babak ditampilkan dalam video muzik dijalankan atas dasar profesional, bukan di sebaliknya,” katanya.
Pun begitu, Lan yang nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof itu menjelaskan, dia tetap bimbang sekiranya ia boleh menimbulkan isu di luar jangka.
“Memang risau jugalah jika perbuatan tu disalah anggap segelintir pihak,” katanya.
Lan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran 5 Kaki 4 Inci di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.
Lagu itu dicipta Velvet Aduk Lawrence. Dan lirik adalah gandingan antara Marsha Milan dengan Velvet.
5 Kaki 4 Inci ditujukan sebagai tanda penghargaan Lan kepada semua peminat dan penyokong warga Borneo yang menyokong perniagaannya, Lan Solo Borneo Mart.
Perusahaan Lan itu kini sudah berkembang menjadi dua cawangan iaitu di Ampang dan Selangor.
Untuk rekod, video muzik berkenaan menampilkan Kerinah Mah, Ratu Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2017.
Lan, 33, juga berkata, dia bersyukur selepas terperap selama setahun disebabkan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19, lagu itu akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya.
“Lagu tu sudah lama siap cuma baru dimasukkan vokal. Rancang nak terbit awal tapi takut tempoh tak bersesuaian pula. Pada waktu tu kita berdepan PKP,” katanya.
Syukur kemelut berakhir
Sementara itu, diminta mengulas perseteruannya dengan Rody Kristal sebelum ini, Lan berkata, dia bersyukur kerana kemelut itu sudah berakhir dengan baik.
Lan sebelum ini pernah memuat naik imej dia bersama Rody di laman Instagram selepas mereka berdua terserempak di surau Pusat Konvensyen Antarabangsa pada 6 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, kata Lan, dia tiada sebarang perancangan untuk kembali bersama kumpulan Kristal memandangkan sudah menubuhkan Kristal X.
“Saya hormati kumpulan Kristal kerana mereka sudah ada vokalis baru dan saya pula bersama Kristal X. Ibarat sebuah perkahwinan, saya kena hormati mereka yang sudah ada keluarga,” katanya.
Namun, menurutnya, dia tidak menolak sekiranya Rody berminat untuk menjalin kerjasama pada suatu masa akan datang.
“Semua ni mematangkan saya, buat apa nak bermusuh. Apa yang terjadi sebelum ni mungkin disebabkan ketika itu saya kepenatan dan dikuasai amarah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai