Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Kelabu Keluarga Malaysia dalam Prebet Sapu

ULASAN SENI | Adalah sesuatu yang amat baik seandainya sesebuah karya seni itu dibikin untuk mencabar sesuatu falsafah. Seni seperti filem sebaiknya menjadi nakal, menggugah dan mengacah-acah untuk mempertikaikan teori, sistem dan nilai-nilai kemanusiaan.

Seni sewajibnya berani memperlecehkan ideologi dan menggegarkan iman-iman kepercayaan.

Prebet Sapu yang dihasilkan Muzammer Rahman ada memiliki sedikit kualiti tersebut. Paling tidak, filem ia berani membawa diri ke tengah khalayak penonton sebagai sebuah filem kelabu (hitam putih).

Sesebuah hasil seni tidaklah mesti segalanya difahami dengan terperinci. Seandainya Herbert Read pernah berkata seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan, sementara Hauser berpandangan seni ialah suatu hubungan komunikasi.

Makanya ia sudah cukup bagi menjawab kenyataan bahawa seni tidak memerlukan kita untuk ‘sungguh-sungguh’ memahami apatah lagi untuk ‘gila-gila’ difahami.

Cukuplah kita dapat menikmatinya dengan jiwa, perasaan dan hati.

Prebet Sapu melalui pendekatan fragmentary dengan jalan cerita bengkang-bengkok itu ada kalanya mengganggu. Mujur plot yang berselerak dapat dikawal baik dalam naratif yang tidak melemaskan dan merapu.

Hal-hal klise kemiskinan

Pembukaan naratif dengan cahaya langit dari dalam lubang kubur memunculkan Aman dengan banyak pertanyaan. Sedikit demi sedikit kisah Aman yang kematian ibu, kehilangan kerja sebagai penulis di syarikat penerbitan didedahkan perlahan.

Ia menjadi sejenis logik mengapa Aman terjebak dengan kerja halal tapi haram sebagai pemandu prebet sapu di Kuala Lumpur. Ia berlaku ketika Aman masih punya pilihan untuk hidup dengan lebih menyenangkan di kampung halaman.

Memang perlu diakui Prebet Sapu ada kelemahan pada bait-bait dialog yang dilontarkan. Kualiti seni filem besar yang sudahpun ia miliki kurang dimanafaatkan.

Karektor Amar dan Bella gagal dimanipulasi sebagai anak muda KL yang marah-marah, nanar dan nakal mahu mencabar, menggugah dan mengacah-acah sistem yang menyebabkan mereka ditindas.

Kenakalan filem itu hanya dapat terlihat pada visual yang serasa menampakkan beberapa perlambangan ikonik politik seperti imej PWTC. Atau barangkali klise dengan hal-hal kemiskinan antara flat di Keramat dan Kampung Baru dengan Menara KL dan KLCC. Selain itu penonton dibawa menaiki teksi ke seluruh ceruk jalan dan lorong kota Kuala Lumpur yang penuh kelabu.

Sejujurnya masih ada banyak yang kurang pada alur serta jalan pada cara Prebet Sapu diceritakan. Walaupun ia berhasil mencipta watak jujur seperti Aman, karektor menarik seperti Bella serta manusia-manusia unik yang jadi penumpang kereta Aman.

Namun penceritaan filem itu terlalu jelas menampakkan ia sebenarnya masih belum sepenuhnya siap dan bersedia untuk dipersembahkan.

Potensi besar filem itu mengangkat manusia-manusia kecil dalam kota raya - nyang jarang mahu dipaparkan mana-mana filem selepas Kembara Seniman Jalanan, Budak Kelantan, Songlap dan Jalan Pintas - dibantutkan oleh jalan cerita yang dibayangi kelemehan.

Sayang tenaga luar biasa yang ada pada karektor Aman dan gadis Cina yang bekerja sebagai pelacur kelas atasan - Bella - tidak dipergunakan dengan sebenar-benarnya.

Perasaan sebal yang jenuh

Sungguhpun Prebet Sapu yang kuat terhidu hidangan Abbas Kiarostami dan Jafar Panahi itu tidak begitu menjadi, belum cukup ngilu, kurang pedih dan langsung gagal untuk menjadi karya berani yang mewacanakan buah-buah pemikiran tentang ketidakadilan ras, politik dan kemiskinan, ia tetap menyimpan keranuman rasa dan perasaan kemiskinan yang berstruktur menjadi bangunan atau menara kemegahan.

Malah karektor sebagai masyarakat siap menerima saja segala ketidakadilan menjadi sistem dan struktur yang diinstitusikan sebagai pentakdiran.

Semua hal itu digambarkan dengan visual sinematik. Disuarakan melalui hingar suara berita di TV dan radio serta sesekali dicucuh oleh Bella dan Aman melalui dialog mereka.

Di sinilah kualiti besar yang dimiliki Prebet Sapu, yakni kekelabuan kisah keluarga Malaysia yang mahu diketengahkan.

Belum ada apa-apa rasa yang boleh menggamit kebimbangan seandainya seorang pemuda Melayu bertanggujawab seperti Aman hidup miskin, mula berjinak-jinak dengan jenayah kecil dan hidup melarat tanpa rumah.

Tapi tatkala Bella mengadu kepada Aman tentang betapa dia tidak pernah berasa selesa dengan negara kelahirannya sendiri, tentu saja hal itu memancing lalu membawa kita ke suatu tahap perasaan sebal yang menjenuhkan.

Perkataan Bella pernah diherdik “Hei, you Cina pergi balik tongsan!” tentu saja boleh jadi momen “apa lagi Cina mahu” yang ikonik itu. Ia malah menjadi simbil kepada bagasi “keluarga Malaysia” yang berisi beban yang penuh dengan kecurigaan.

Biarpun wacana, konflik dan tension Prebet Sapu terlalu sederhana namun kekelabuan hal Bella yang digaul bersama isu “pendatang” yang mula semakin ramai mengisi rumah-rumah di Kuala Lumpur membuatkan kita turut jadi geruh bersama Aman.

Kekelabuan Prebet Sapu bukan sahaja tentang buta warna Aman yang barangkali Muzzamer mahu kita rasakan, tapi ia adalah tentang kekelabuan kisah dan cerita yang tidak diceritakan di sebalik filem berkenaan.

Prebet Sapu menanyakan pada kita tentang bagaimana mahu memilih antara cili merah dan cili hijau dalam keadaan penuh kelabu.

Justeru usah kita peduli entah mengapa filem ini mesti tiada warna-warni sebaliknya ditayangkan dalam hitam putih. Kerana tidak segalanya tentang seni itu harus difahami.

Cukuplah kalau kita tahu, yang kita semua adalah Bella dan Aman yang sedang hidup dalam negara yang penuh kelabu. Kekelabuan itulah yang menjadi aset untuk orang politik tetap menang, terus menindas dan selamanya memperbodohkan.

Kerana di sebalik kekelabuan filem Prebet Sapu itu ada kisah Keluarga Malaysia yang penuh curiga, sangsi dan ragu.


HARIS HAUZAH hanyalah seorang penganggur dilahirkan oleh Kuala Lumpur yang kini hidup menumpang dan selalu mencari pasangan di Bukit Bintang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.