Lelongan aset Sajat terganggu dek 'pembida misteri'
Seorang lelaki gagal melunaskan wang berjumlah RM132,000 selepas membuat bidaan tertinggi ke atas aset usahawan kontroversi Nur Sajat Kamaruzzaman, yang dilelong hari ini.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan (gambar, atas) berkata, lelaki terbabit tidak memunculkan diri selepas memberi alasan mahu keluar untuk membuat bank draf sebaik saja sesi bidaan tamat.
“Pembida itu kata wang tunai dia di rumah, jadi kami kata bagi sahaja bank draf dahulu, tapi sampai sekarang dia tak muncul.
“Padahal (nak buat) bank draf kejap saja. Kami syak pembida ini orang rapat kepada seorang lagi usahawan terkenal,” katanya seperti dipetik mStar Online hari ini.
Disebabkan hal itu, Nurul Hafidzah berkata, lelongan akan dilakukan sekali lagi pada minggu hadapan.
“Jadi bidaan gagal dan sesi lelongan akan dibuka semula minggu depan,” katanya.
Nurul Hafidzah berkata, lelaki terbabit juga pergi tanpa menandatangani apa-apa kontrak seperti yang sepatutnya.
Dia menjangkakan lelaki berkenaan dihantar oleh seseorang individu yang berniat untuk menangguhkan acara lelongan.
Terdahulu, seorang lelaki berjaya membida kesemua 39 barang milik Sajat dalam lelongan di Kota Damansara.
Proses lelongan itu dibuat bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources Sdn Bhd (OWA Resources) selaku bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat.
Menurut salah seorang peguam OWA Resources, Zeti Zulkifli, bidaan dibuat sebanyak enam kali membabitkan lapan pembida sebelum ia berkurang menjadi tiga.
Proses bidaan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi tadi dengan syarat pembida perlu menyediakan wang tunai berjumlah RM5,000 sebelum dibenarkan masuk ke kawasan rumah banglo dua tingkat di No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara itu.
Kesemua 39 barangan yang dilelong perlu dibida secara pukal bermula dengan harga RM75,000.
Antara barangan Sajat yang dilelong ialah set pinggan mangkuk, set bilik tidur, piano, almari antik, sofa, jam berdiri, kipas angin, peti sejuk, televisyen, lukisan, pasu bunga pelbagai saiz dan candelier.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai