Fauziah harap bila cucu ceburi industri seni, zaman dah berubah
Meskipun diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman melalui Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) malam tadi, Fauziah Nawi enggan jejak langkahnya menceburi bidang itu diikuti cucu-cucunya.
Pelakon veteran itu berkata, namun sekiranya keinginan tersebut hendak diteruskan jua, seboleh-bolehnya biarlah mereka menjadi seorang penggiat industri yang penuh ilmu di dada.
“Jika boleh, saya tak nak cucu (anak sulung Allahyarham anaknya, Pitt Hanif) pilih bidang ni kerana mereka akan berdepan kesukaran kehidupan.
“Cucu masuk kolej dan ambil jurusan filem. Dia kata ada minta jurusan lain tapi tak dapat, akhirnya terpilih masuk ke bahagian perfileman juga.
“Dia memang nak jadi macam ayahnya. Cucu yang kedua pun dah berjinak dalam lakonan,” katanya.
Menurut Fauziah, 68, sekiranya masih ingin meneruskan hasrat itu, mereka perlu menjadi tabah dan kuat seperti yang dilakukannya sebelum ini.
“Masuk bidang ni hati kena kuat, keras dan cekal, itulah pilihan yang saya buat.
“Saya harap bila zaman mereka ceburi bidang ni akan berubah lebih menjamin masa depan,” katanya sambil menyeka linangan air mata.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui pada FFM31 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Ditanya adakah dia yakin cucu-cucunya mempunyai kebolehan untuk bergiat aktif dalam bidang itu dan menempa kejayaan, Fauziah menjawab ringkas: “Ya.”
Terdahulu, Fauziah meluahkan perasaannya terharu kerana dirinya terpilih untuk menerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman ketika hayatnya masih di kandung badan.
Menurutnya, kejayaan itu juga ditempa demi arwah Pitt dan bapanya.
“Paling seronok dapat anugerah ni ketika masih hidup,” katanya yang juga pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Skrin 2018.
Jenazah Pitt - yang juga seorang pengarah drama dan filem - ditemukan di Sungai Mela, Kuala Lipis pada 27 Oktober tahun lalu selepas dua hari dilaporkan hilang ketika memancing bersama rakannya.
Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif, meninggalkan seorang balu yang juga pelakon Farah Ahmad, dan tiga anak perempuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai