Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penerbit kecewa syarat kelayakan sertai FFM31

Seorang penerbit filem meluahkan kekecewaannya kerana Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) hanya mengiktiraf karya yang ditayangkan di layar perak sebagai syarat pencalonan kali ini.

Kata Aron Koh, pihak penganjur wajar merombak syarat sedia ada itu memandangkan hampir dua tahun industri sinematik terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya amat kecewa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) masih menetapkan syarat layak bertanding hanya untuk filem yang ditayangkan di pawagam sedangkan pada kebanyakan masa pawagam tutup,” katanya.

Menurut penerbit filem A House Of Happiness itu, dalam tempoh tersebut, tidak banyak filem dapat ditayangkan di pawagam sebaliknya ada penerbit lebih selesa memilih platform penstriman untuk menayangkan naskhah masing-masing.

“Pengeluar filem tak ada pilihan selain terpaksa beralih ke platform Over The Top (OTT).

“Sekarang filem bukan hanya ditayang di panggung wayang. Anugerah Academy (Oscars) juga dah terima pencalonan dari Netflix dan seumpama dengannya.

“Kita kena ubah syarat sedia ada jika benar-benar nak lihat filem kita maju,” katanya.

Aron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmmaking di sebuah hotel di Puchong baru-baru ini.

Patut tak kira bahasa

Pada majlis itu, Aron turut mengumumkan rancangan penggambaran dan tayangan filem Tahun Baru Cina terbitannya, Small Town Heroes, dan Oh My Soul; animasi Melayu, Tiga Adiwira; serta filem Melayu, Indera, Gila Gusti.

Selain itu, Aron berkata, dia teringin melihat filem dwibahasa - misalnya gabungan bahasa Melayu dan Mandarin - tidak sukar untuk mendapat sambutan luar biasa penonton.

Malangnya, menurut Aron yang pernah berkhidmat sebagai pengurus besar Akademi Filem dan TV Limkokwing itu, perkara sedemikian jarang berlaku.

“Ini masalah kita sekarang. Kalau ada filem campur bahasa Melayu dan Cina (Mandarin) memang tak boleh jual.

“Maaf cakap, jarang orang Cina tengok filem Melayu dan orang Melayu pun tak tengok filem Cina,” katanya.

Dia yang juga Naib Presiden Persatuan Filem Cina Malaysia dan pengasas Lomo Pictures berkata, filem yang bagus sepatutnya tidak perlu mengira bahasa apa yang digunakan.

“Malangnya, mekanisme di negara ni masih berada di tahap lapuk. Tolonglah belajar sesuatu dari industri perfileman Korea Selatan.

“Kita semua tak faham bahasa Korea tapi tetap pergi menonton wayang atau strim filem mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmmaking, Aron berkata, dia menulis buku berkenaan kerana ingin berkongsi pengalamannya dengan pengkarya yang baru menceburkan diri dalam bidang perfileman.

“Saya nak bantu mereka lebih memahami peraturan industri, menganalisis proses pembikinan filem dan faktor kejayaan sesebuah filem serta arah aliran industri pascapandemik.

“Saya menganalisis secara menyeluruh pemahaman dan pandangan saya terhadap industri, masalah yang dihadapi oleh industri dan memberi cadangan yang kontra,” katanya.

Buku itu meringkaskan pengalaman Aron selama 18 tahun dalam industri. Dia juga akan menggunakan karya sendiri dan beberapa karya lain untuk menerangkan proses pembikinan filem selain bagaimana industri filem berfungsi dan elemen kejayaan sesebuah filem.

“Saya yakin buku ni akan memberi inspirasi dan pandangan kepada pembikin filem baru lepasan ijazah dan pemula yang sedang menunggu peluang mereka serta pembikin filem luar negara tentang industri filem,” katanya yang akan menyumbangkan 300 buku itu kepada perpustakaan awam di Selangor.