Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Monopoli pihak tertentu' dorong Hans Isaac bersara dari seni

Mengakui sudah tiada minat lagi untuk terus bergiat aktif dalam filem mahupun drama, Hans Isaac berkata, monopoli pihak tertentu dalam industri tersebut menjadi antara puncanya dia mengambil keputusan tersebut.

Justeru, pelakon dan penerbit itu berkata, dia ingin bersara saja dari bidang berkenaan kerana menganggap sudah tidak nampak lagi ada masa depannya di situ.

“Tidak. Sudah tiada minat terhadap itu.

“Industri kita dimonopoli pihak-pihak tertentu. Saya sudah tidak nampak masa depan di sini. Semudah itu,” katanya.

Pelakon, pengarah dan penerbit filem Cuci itu berkata, dia kini selesa memilih untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Jadi saya pilih untuk tidak melakukannya lagi. Saya telah memilih jalan yang lain, sebagai usahawan,” katanya dipetik Utusan Online.

Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac itu mula menceburkan diri dalam dunia lakonan seawal 1995. Antara filem lakonannya yang dikenalil ramai ialah Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan, Laila Isabella, Buli dan Persona Non Grata.

Bagi Hans, 50, tidak semua penggiat filem dan drama boleh menikmati kesenangan hidup terutama selepas mereka bersara.

Katanya lagi, tiada gunanya mengejar sesuatu yang “tidak menjanjikan” kestabilan hidup.

Menurutnya, setiap industri ada rancangan dan jaminan ketika penggiatnya bersara pada umur-umur tertentu.

“Untuk pemain industri kreatif, itu tidak berlaku. Daripada 1,000 orang, mungkin 50 sahaja yang dapat menikmati kelebihan itu.

“Yang selebihnya akan terus susah sepanjang hidup mereka.

“Oleh itu, tiada gunanya kita mengejar sesuatu yang tidak menjanjikan kestabilan hidup lebih-lebih lagi selepas kita bersara nanti,” katanya.