Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Annuar minta warga seni jangan ‘bercakaran’ sesama sendiri

Penggiat seni wajar mengetepikan perbezaan ideologi serta tidak bercakaran demi memajukan industri perfileman tanah air, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Menurutnya, segala percanggahan pendapat mestilah cuba diselesaikan secara harmoni sejajar dengan misi kerajaan mahu mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.

“Kita asyik baca kontroversi berlegar dalam industri, jadi sekarang perlu kurangkan konflik. Jika ada idea yang bagus, cadangkan dan bincangkan.

“Tak perlu masuk media sosial untuk menghentam sana-sini sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan dengan berhemah.

“Lazimnya dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis ataupun pemain bola sepak kena kurangkan konflik. Buat apa cari gaduh dan cari perbezaan, sedangkan sepatutnya kita harus cari titik persamaan,” katanya.

Bagaimanapun kata Annuar, nasihat untuk mengurangkan percakaran bukanlah bermaksud seseorang itu tidak boleh ada sebarang perbezaan pendapat.

Ahli parlimen Ketereh itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di sebuah hotel di The Curve, Damansara hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Md Nasir Ibrahim serta Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Patut lebih peka

FFM31 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam pada pada 10 Dis ini. Sebanyak 55 filem dipertandingkan bagi merebut tempat terbaik bagi 28 kategori.

Buat pertama kalinya juga, pemenang kategori Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan geran Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.

Antara filem yang berentap ialah Wira, Tiada Tajuk, Pusaka, Suatu Ketika, Misteri Dilaila, Wangi, Motif, Hero Jangan Bikin Panas, Ennaval, Geran, KL Vampires, Sangkar dan Anak Perjanjian Syaitan.

Turut disenaraikan ialah filem seperti Warkah, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Mimaland, Rock 4: Rockers Never Dai, Ejen Ali The Movie, Ratu Kala Jengking, Ada Apa Dengan Dosa, Salina, Zombitopia dan Roh.

Annuar turut menegur sikap segelintir pihak yang tidak mengambil peduli penganjuran FFM31 ketika mereka sepatutnya memberi sokongan kerana ia adalah majlis untuk meraikan penggiat seni.

“Saya faham dalam situasi pandemik masa sekarang, mungkin ada yang terlepas pandang memandangkan mereka sudah kembali bekerja selepas tiada perintah kawalan pergerakan.

“Bagaimanapun kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar seperti ini.

“Wartawan dan televisyen memainkan peranan menyebarkan mengenai anugerah ini, tapi mereka (orang industri) tidak mahu ambil peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.