Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aliff Aziz terus raih perhatian juri Gegar Vaganza 8

Siapa sangka penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz sekali lagi menduduki tempat teratas dalam persembahan peserta program Gegar Vaganza 8 (GV8) malam tadi.

Dia meraih markah tertinggi untuk dua minggu berturut-turut, termasuk bagi minggu kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Penyanyi yang dulu sering mencetus kontroversi itu berjaya menarik perhatian barisan juri dengan markah 81 peratus setelah memberi persembahan mantap melalui lagu Kasih Tak Sampai, dendangan asal kumpulan popular Indonesia, Padi.

Terdahulu, Aliff diumumkan sebagai pemenang Anugerah Betul Betul Luar Biasa Digi, manakala Saiful Apek dan Yasin Yahya (SA.YA) pula terpilih sebagai Bintang Cuckoo Paling gempak.

Kumpulan Nico G pula mendapat tempat tercorot dengan markah 52.90 peratus. Bagaimanapun, kumpulan yang dulu lebih dikenali sebagai Nico itu bernasib baik apabila tiada penyingkiran dilakukan pada minggu kedua, yang mengangkat tema Masih Aku Terasa.

Kesemua peserta diadili melalui format penjurian seratus peratus oleh juri profesional yang terdiri daripada Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap. Ahmad Tamimi Siregar pula diundang sebagai juri jemputan.

Konsert minggu ketiga sekali lagi akan menyaksikan persembahan 13 peserta iaitu Aliff Aziz, Adibah Noor, Nikki Palikat, Suki Low, Upiak Isil, SA.YA, Aweera, Shidee, Bandi Amuk, Azan Scan, Ani Mayuni, Fazley Yaacob dan Nico G.

Gegar Vaganza 8 dihoskan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan disiarkan secara langsung melalui Astro Ria (saluran 104) pada jam sembilan malam setiap Ahad, bermula 21 November lalu.