ULASAN | Menyuluh jalan dengan 'filem haram'
ULASAN SENI | "Dunia adalah tempat hidup yang bahaya. Bukan kerana orang jahat yang ada, akan tetapi kerana adanya orang yang tidak mahu melakukan apa-apa untuk menanganinya.”
Selain daripada kegeniusan, ada terlalu banyak kata-kata lihai ditinggalkan oleh seorang Albert Einstein. Petikan di atas hanyalah satu daripada sekian banyak kata-kata Einstein berkenaan hidup serta pandangannya terhadap kemanusiaan.
Ia suatu sisi pemikiran saintis penting abad ke-20 kelahiran Jerman yang jarang disorot berbanding teori-teori fizik, ilmu kosmologi serta jangkaan masa depannya tentang angkasa dan dunia masa depan.
Dunia juga mengetahui betapa kuatnya gesaan dibuat Einstein bersama Bertrand Russell melalui "Manifesto Russell-Einstein" iaitu dokumen penting yang mendesak agar segala konflik dan pertikaian haruslah diselesaikan melalui rundingan aman.
Manifesto itu menjadikan Einstein penyokong kuat kepada gerakan pemusnahan senjata atom dan pelucutan senjata nuklear. Dia percaya persaingan membangunkan program atom dan nuklear hanya mengundang kebinasaan.
Namun harus juga diingat bahawa belasan tahun sebelum semua itu berlaku, dia bersama-sama sekumpulan saintis Hungary - diketuai ahli fizik bernama Leo Szilard - menandatangani surat yang dikarang Szilard khusus buat Franklin Roosevelt.
Tindakan itu bagi meyakinkan betapa AS harus segera menyelidik dan membangunkan senjata atom sebagai tindak balas kepada Jerman yang mula membangunkan senjata sedemikian.
Dari situlah munculnya Projek Manhattan yang kemudian membawa kepada meledaknya Little Boy di Hiroshima dan Fat Man di Nagasaki dan meranapkan kedua-dua bandar itu dengan kesannya masih diperkatakan hingga kini.
Walaupun Einstein tidak pernah terlibat secara langsung dengan Projek Manhattan, dia sentiasa dirundung penyesalan yang teramat. Rasa dukacitanya kerana menandatangani surat berkenaan dijelaskannya sendiri dalam satu temu ramah dengan majalah Newsweek:
"Seandainya saya tahu bahawa orang Jerman tidak akan berjaya menghasilkan bom atom, saya tidak akan
mengangkat jari saya (untuk menandatangani dokumen tersebut).”
Kembali berfikir
Sungguhpun Einstein seorang genius yang dianugerahkan dengan pelbagai kepintaran, itu bukan jaminan dia terpelihara daripada melakukan apa-apa kesilapan.
Malah boleh jadi orang seperti Einstein lebih terdedah kepada pelbagai manipulasi, agenda jahat peribadi dan bermacam-macam jenis kempen politik yang memperbodohkan fikiran orang ramai.
Namun hal terpenting yang harus dicerakin daripada kisah Einstein itu ialah corak pemikiran yang dia tunjukkan.
Einstein tidak teragak-agak untuk mempertimbang semula keputusan yang pernah dia buat sebaik mengetahui ada ancaman yang lebih besar kepada manusia.
Sebetulnya dalam hal ini bidang kesenianlah yang memiliki banyak kelebihan. Seni yang terkandung dalam filem misalnya memiliki kekuatan luar biasa untuk memperbetul pandangan.
Filem berupaya meluruskan kembali pemikiran bengkok masyarakat yang dicemari oleh polarisasi hasutan politik yang memesongkan orang ramai daripada kebenaran.
Kekuatan dan kelebihan itulah yang harus dimanafaatkan.
Keunggulan filem itu sama agungya dengan apa yang masyarakat pembaca nikmati daripada kesusasteraan. Ada sejenis ‘hasutan’ yang mampu menjalar ke dalam minda masyarakat seandainya kelebihan naratif itu sungguh-sungguh digunakan bagi mewacana subjek dengan meletakkan ketinggian hak, keadilan dan kebenaran pada tempatnya.
Justeru semua itu seharusnya lebih kerap difestival dan dipestakan.
Pesta Tut: Tak Usah Tutup-tutup yang sedang berlangsung dari 26 Nov sehingga 5 Dis ini adalah kegeniusan yang cuba dimaksudkan Einstein.
Ia merupakan koleksi beberapa acara kreatif yang mengajak masyarakat melihat realiti yang dipaparkan dalam filem sambil kembali berfikir, berbincang dan membuat penilaian semula tentang sikap selama ini kita relakan.
Pesta Tut: Tak Usah Tutup-tutup dianjurkan Freedom Film Network (FFN) itu bukanlah acara baru. Mereka adalah kumpulan yang paling lantang dan sering menyuarakan isu-isu hak asasi dan kemanusian dalam industri perfileman.
Bacakan kisah dongeng
Kebimbangan FFN sejak sekian lama ialah berkenaan sistem penapisan filem yang dilihat menyekat hak dan mengongkong kebebasan bersuara masyarakat.
Amalan lama yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan agar apa saja rakaman video perlu mestilah melalui penapisan tidaklah seindah apa yang digambarkan.
Hal ini kerana kuasa penapisan filem dipegang penuh oleh Kementerian Dalam Negeri yang fokusnya ialah kepada isu keselamatan tetapi tiada kaitan dengan kesenian atau komunikasi.
Selain kuasa perlantikan ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Jawatankuasa Rayuan Filem dipegang oleh Menteri Dalam Negeri, kuasa serta keputusan-keputusan LPF juga mutlak dan tidak boleh dicabar dimahkamah.
Bagi FFN, tranformasi institusi serta sistem penapisan filem yang baru harus segera diperkenalkan.
Hanya dengan itu paling tidak tiga perkara ini boleh dicapai: mendapatkan filem-filem yang dihasilkan lebih bersifat inklusif dalam meraikan kebudayaan Malaysia yang pelbagai; industri filem tempatan dapat dibangunkan melalui budaya yang lebih sihat selepas dimerdekakan; dan ketiga, mengupayakan filem-filem kritis yang selama ini dipadam serta dipendam.
Selain acara diskusi, Pesta Tut: Tak Usah Tutup-tutup juga menayangkan 10 filem - secara dalam talian - yang berdepan dengan kesulitan akibat kerenah sistem penapisan filem yang diamalkan negara ini.
Apa yang menarik, semua 10 filem tersebut sangat dekat dengan budaya penghidupan masyarakat tempatan yang jelas sangat berjiwa kemalaysiaan.
Kita harus bersama mereka, kerana si genius Einstein juga pernah berkata: “If you want your children to be intelligent, read them fairy tales. If you want them to be more intelligent, read them more fairy tales.”
Kerana dalam ‘fairy tales’ itu ada kita, ada kemanusiaan dan ada budaya bangsa yang mencerdikkan.
HARIS HAUZAH ialah seorang penulis yang percaya bahawa bakat itu hanyalah ilusi.
Tulisan ini tidak semenstinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai