Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Rakyat Melaka, jangan undi calon lompat si katak lompat'

Pengarah drama, Azman Yahya atau Jinggo menitipkan pesan kepada pengundi di Melaka agar bijak memilih dalam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan hari ini.

Katanya, rakyat harus berwaspada dan tidak memilih calon yang gemar mengamalkan budaya keluar parti.

“Selamat mengundi Geng Tok Sidang Melaka (GTSM). Kome (kamu) ngundi ler (mengundilah) calon yang kamu yakin ikhlas buat kroje (kerja) ya.

“Yang pasti, kamu jangan mengundi calon lompat si katak lompat. Tak kira apa alasan ya. Tak berakei (berakal) kata oghang (orang) Perak,” katanya di Instagram.

Menurut suami kepada pelakon dan penerbit JS Pictures, Sheila Rusli itu, calon yang dilantik sepatutnya mementingkan negara dan kebajikan rakyat, bukannya mengutamakan parti dan diri sendiri.

“Rakyat dalam kepayahan, dalam bahaya jangkitan Covid-19, bahaya.

“Orang tua berusung, bertongkat, mengesot pergi mengundi, tapi bila kamu tak puas hati dengan parti, kamu lompat, kamu dapat apa dan rakyat dapat apa?” katanya.

Pada masa sama, pengarah drama Derita Pia itu memohon agar sesiapa yang keluar mengundi untuk sama-sama menjaga keselamatan diri dan mengekang Covid-19 daripada terus menular.

“Hati-hati GTSM, pakai penutup hidung, jangan dibuka-buka, balik rumah, buang dan terus mandi.

“Semoga kamu dilindungi daripada sebarang penyakit hanya kerana pe’el (perangai) katak-katak tu. Selamat mengundi,” katanya.

Sebanyak 217 pusat pengundian di Melaka dibuka 8 pagi tadi membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baru.

Seramai 112 calon bertanding dalam PRN kali ini membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.