Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pelukis usah tamak, nak segera semua

ULASAN SENI | Dalam haru-biru pelukis di negara ini mencari tapak untuk membina nama, kami selalu menggalakkan mereka untuk tidak terlalu terburu-buru menjual karya.

Jika seseorang itu melukis hanya untuk menjual karya, maka pastilah kita ini akan bersahabat dengan kekecewaan.

Telah ramai pelukis datang dengan impian dan harapan menggunung. Berbekalkan apa yang diuar-uarkan sebagai bakat anugerah tuhan, berharaplah mereka agar akan segera dipandang orang.

Lalu setelah beberapa lama mereka akan dapati bukanlah mudah untuk menjadi pekerja lukisan. Boleh dikatakan semua orang - di mana lapisan pun - akan gemar kepada lukisan. Tambahan pula jika lukisan tersebut adalah cantik.

Namun daripada semua orang yang suka itu, hanya kurang daripada setengah sanggup mengeluarkan wang untuk membeli. Yang sanggup mengeluarkan wang itu pula, sebahagian besarnya akan berbelanja dengan wang tersisa daripada perbelanjaan harian bagi mendapatkan lukisan walaupun harganya kurang tidak sampai RM500.

Pelukis selalu tergesa-gesa mahu dikenali. Justeru sesiapa saja yang datang dengan janji akan disambut dengan tangan terbuka. Pelukis tidak mahu tahu sama ada yang datang itu penggemar tegar lukisan atau sekadar peniaga.

Yang penting kepada pelukis ialah mahakarya mereka dijual.

Dan yang ramai datang kepada pelukis adalah mereka yang mahu mengambil keuntungan atas kenaifan pelukis.

Lihat saja betapa sesiapa saja yang punya sedikit wang - dan tentu saja pengaruh yang besar - alam terjun masuk ke dalam dunia seni lukis.

Berhati-hati terima pelawaan

Akibat daripada itu, baru-baru ini dunia seni catan kita digemparkan oleh pameran yang tidak mengambil hormat kepada hasil kerja para seniman.

Karya-karya dalam pameran itu dipamerkan seolah-olah disidai di tempat jemuran. Dan ampaian tersebut pula berada nun tinggi di atas awan. Mungkin mengambil semangat harapan mengawan sang pelukis yang mengambil bahagian.

Bukanlah salah untuk memberi wang kepada sesiapa pun mengelolakan acara seni namun mereka yang menerima geran kerajaan itu sepatutnya membawa bersama kumpulan manusia yang faham cara menganjurkan sebuah festival seni catan.

Pertunjukan fesyen pakaian tentu saja berbeza dengan cara mempamerkan karya seni catan.

Cara yang paling umum untuk mempamerkan lukisan misalnya ialah diletak pada dinding. Gantung pada ketinggian sedap mata memandang dan leher pula tidak perlu diregangkan untuk melihatnya.

Dengan sedikit lampu menyorot karya tersebut, itu saja sudah membuatkan pelukis berasa besar hati.

Tiang bendera, pagar kompleks beli-belah dan juga siling bangunan tentu saja tidak sesuai untuk diletakkan karya lukisan, melainkan kamu adalah Michelangelo dan yang kamu lukis adalah Sistine Chapel.

Pelukis dan karyawan seni seharusnya berhati-hati apabila menerima pelawaan untuk berpameran. Jangan hanya kerana mahu segera menjual karya atau mahu lekas dikenali, kita - dengan tiada harga diri - menerima ajakan sesiapa saja yang mencadangkan suatu persembahan.

Siasat dulu latar belakang mereka. Periksa sejarah penglibatan mereka dan bertanya-tanya kepada orang di sekeliling untuk lebih memahami. Pemberi geran kerajaan juga perlu melakukan hal yang sama.

Jangan kerana si peminta adalah terkenal dalam satu bidang maka apa pun yang mereka mohon akan diluluskan walaupun dari bidang yang lain.

Semasa kumpulan ArtEDecor mula masuk ke kancah seni catan, banyak seniman yang berhati-hati untuk bekerjasama dengan mereka. Namun setelah beberapa tahun, kumpulan itu memperlihatkan kesungguhan dan hari ini mereka dikenali sebagai penganjur acara seni catan yang berwawasan.

Hari ini juga mereka sedang mengadakan sebuah art fair di pusat beli-belah Pavilion di Kuala Lumpur. Pergilah memberi sokongan jika kamu berkesempatan.

Walaupun mereka masih sebuah perniagaan, kumpulan itu sekurang-kurangnya cuba memberi hak yang benar kepada para karyawan seni.

Sikap berhati-hati ini bukan saja perlu kepada karyawan seni malah mereka yang mahu menganjurkan acara-acara berbentuk kesenian juga harus mengambil langkah sama.

Jangan kerana kamu mempunyai kekuatan untuk menarik keluar wang kerajaan maka kamu mahukan semuanya sekali gus. Ambil sedikit dulu, buktikan kewibawaan. Kemudian apabila kehebatan sudah dibuktikan, kamu tidak lagi perlu meminta-minta.

Bahkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab memberikan wang percuma itu akan merayu supaya hanya kamu yang diberikan apa juga peruntukan dari dana kerajaan.

Jangan tamak mahu semua, segera.

Pelukis pula perlu memilih wakil yang benar-benar mahu memajukan kamu di samping membuat keuntungan. Dan yang terlebih penting ialah kita perlu lebih mengutamakan karya anak tempatan.

Hal itu kerana untuk membuatkan orang luar menghargai kerja kita, kita sendirilah yang perlu lebih bertanggungjawab mengangkat hasil kerja anak negeri ini.


Abdullahjones ialah pelukis, penulis dan kolumnis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.