Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dira gagahkan diri jadi calon untuk teruskan legasi bapa

PRN MELAKA | Demi mengikut jejak langkah arwah bapanya, Dira Abu Zahar membulatkan hati untuk bertanding sebagai calon BN bagi menghadapi PRN pada 20 November ini.

Bekas pelakon dan pengacara itu berkata, untuk itu, dia sedia menyumbang segala jasa dan keringatnya kepada masyarakat sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya Khaidhirah Abu Zahar dengan rasa rendah diri menawarkan diri bertanding sebagai calon BN bagi kerusi N25 Dewan Undangan Negeri Rim, calon nombor tiga.

“Sesungguhnya DUN Rim, di Jasin ini begitu dekat di hati dan kampung saya membesar adalah di sini.

“Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Abu Zahar Isnin, untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat,” katanya di Instagram malam tadi.

PRN Melaka bakal menyaksikan persaingan sengit apabila 112 calon dari pelbagai parti serta bebas disahkan bertanding untuk merebut 28 kerusi DUN pada 20 Nov ini.

Kerusi DUN Rim sendiri menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Dira dengan B Prasanth Kumar (PKR-PH) dan Azalina Abdul Rahman (Bersatu-PN).

Dira, 37, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, banyak yang telah dilakukan oleh BN sebelum ini sehingga menjadikan Melaka sebuah negeri maju.

“Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan. Bukan untuk yang lain, tapi untuk kita semua,” katanya.

Dira, berharap, pengundi kawasan berkenaan memberi kepercayaan untuknya menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di situ.

“Saya memohon agar pengundi Rim memberikan kepercayaan dan mandat kepada saya untuk mewakili anda semua,” katanya.