Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nora Danish dikecam tak sesuai promosi tudung sebab imej seksi

Gara-gara menampilkan Nora Danish sebagai duta tudung bawal MINAZ, jenama itu teruk dikecam kerana menggunakan selebriti tidak berhijab bagi mempromosikan rekaan terbaru syarikat berkenaan.

Pengguna Internet antaranya mempertikaikan mengapa aktres yang sering dilihat tampil seksi hingga menampakkan susuk tubuh itu yang menjadi pilihan sedangkan imejnya jelas dilihat bertentangan dengan jenama kempen tudung berkenaan.

Menjawab kecaman itu, Nora berkata, seksi atau sebaliknya, ia bergantung kepada mata yang memandang.

Bahkan baginya, membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung seperti itu tidak pernah ada salahnya.

“Jika baik yang dilihat, maka baiklah jadinya. Kalau gatal pandangannya, maka gatallah.

“Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu, terbabit dengan kerjasama sebegini akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung).

“Semua ni sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan. Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung,” katanya yang menjadi wajah kempen jenama itu sejak Oktober lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui dia sudah imun serta kebal dengan apa saja kecaman dilontarkan daripada warganet.

“Saya sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Kecaman demi kecaman ni lumrah kehidupan manusia.

“Ia boleh terjadi bukan saja kepada artis tetapi semua golongan termasuk pendakwah dan ahli politik,” katanya.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 39, berkata, dia bagaimanapun mengakui tidak mahu larut dengan hal hal yang negatif.

“Bagi kelompok netizen yang tahu dan asyik nak kecam saja, hentikanlah. Perbuatan buli siber tidak baik sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif jenama MINAZ, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ menyatakan keputusannya memilih Nora mempromosikan kempen Blossom 2.0 adalah tepat.

Katanya, meskipun dikecam, jualan tudungnya itu tetap laris terjual 150,000 helai dalam tempoh hanya sejam melalui pra tempahan 25 Oktober lalu.

“Hari pertama ketika Nora didedahkan sebagai wajah kempen di media sosial termasuk Instagram rasmi pun memang ramai yang beri maklum balas berbaur positif dan negatif.

“Saya dimaklumkan ada yang nak boikot dan tak mahu menyokong lagi keluaran produk kami.

“Saya sebenarnya lebih gemar memandang sesuatu perkara pada sudut positif. Ada juga yang suka dengan pemilihannya sebagai wajah kempen seperti stokis dan agen kerana dia ramai pengikut di Instagram,” katanya.