Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Fhan harap bakatnya tidak dipandang rendah komposer

Penyanyi rap Farhan Alias meminta penggiat industri muzik terutama komposer atau penulis lirik tidak memandang rendah bakat yang baru bertapak dalam bidang itu.

Sebaliknya, kata Farhan atau nama pentasnya, Fhan, seseorang penyanyi baru wajar diberikan peluang untuk mengasah potensi diri mereka di pentas seni tanah air.

“Sebelum bekerjasama dengan mana-mana komposer atau penulis lirik, mereka perlu percaya potensi seseorang penyanyi berkenaan.

“Bukan memandang rendah terhadap pengalaman seseorang. Saya sangat sensitif dalam bab ni,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Farhan, setiap penyanyi memiliki kelebihan masing-masing sebagai ‘kunci’ untuk kekal relevan.

“Kalau mereka rasa saya tiada potensi, mungkin lupakan saja niat untuk bekerjasama. Saya percaya setiap manusia ada potensi masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, Fhan mulai aktif dalam arena muzik sejak tahun lalu dengan kemunculan dua single berjudul Terbang Tinggi dan Bertahan. Dia kemudian muncul dengan single Terang pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, mengulas berhubung strategi pemasaran yang menyasarkan karya tembus pasaran antarabangsa, katanya, dia mengeluarkan lagu dwibahasa berjudul Walkaway dan Nitro sebagai langkah untuk menarik pendengar luar negara.

“Bagi proses awal untuk bekerjasama dengan penyanyi luar negara, saya fokus mempopularkan terlebih dulu lagu sedia ada.

“Apabila dah ada peminat dan pendengar dari negara serantau, saya percaya penyanyi di sana pasti menyedari kewujudan saya.

“Disebabkan itulah saya mengeluarkan dua single terbaru supaya dapat capai sasaran pasaran luar negara,” katanya yang menyasarkan dua lagu berkenaan untuk menembusi pasaran Indonesia, Singapura dan Filipina.

Walk Away adalah hasil ciptaan komposer Mingaling, Madebyartin, Imgkay manakala penulis lirik, ialah Amir Hasan.

Menyentuh mengenai populariti sebagai penyanyi rap baru, Fhan berkata, itu bukan menjadi sasarannya sebaliknya, dia lebih ambil peduli mengenai mesej sesebuah lagu yang hendak disampaikan.

“Bagi saya tu tak jadi masalah sebab yang penting dapat sampaikan mesej lagu kepada semua pendengar.

“Dua single terbaru berkenaan berkisahkan perjalanan dan liku-liku seseorang dalam industri atau pun perniagaan yang saya ceburi.

“Selain tu, saya selitkan pelbagai cabaran dan ragam manusia yang pernah saya jumpa.

"Konklusinya biar kita sendiri berjuang untuk sampai ke puncak,” katanya.