Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu dadah tak perlu diperbesar lagi - Pekin Ibrahim

“Isu berkaitan dadah... penat nak dengar,” luah Pekin Ibrahim mengulas kegiatan itu yang mengundang perhatian ramai terhadap industri seni tanah air baru-baru ini.

Pelakon dan pengarah itu berpendapat, isu dadah dalam kalangan penggiat seni tanah air tidak perlu diperbesar lagi.

Katanya, tidak baik untuk terus mempolemikkan perkara tersebut kerana ia hanya akan menambah kerugian dan memberi imej buruk pada industri seni.

“Isu bukan baru, kita masing-masing sendiri mahu ingat.

“Ramai saja penagih dadah di luar sana tapi penggiat seni juga yang jadi perhatian ramai,” katanya.

Terdahulu, pelakon Niezam Zaidi; pengarah, Mohd Latif Zami dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak.

Pekin berkata demikian ketiga ditemui pada sidang media drama terbaru lakonannya, Keluarga Untuk Disewa, yang disiarkan secara maya hari ini.

Drama 20 episod itu diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd, diarahkan oleh Raja Mukhriz R Ahmad Kamaruddin.

Selain Pekin, 40, nukilan skrip oleh Ellyna Ahmad dan MF Kencana itu turut menampilkan pelakon Adibah Noor, Fifi Laura Olivia, Azhan Rani, Dynas Mokhtar, Pekin Ibrahim, Fimie Don, Afifah Nasir.

Kata Pekin, lebih mengecewakan apabila ada dalam kalangan mereka yang lantang berkata-kata soal dadah itu sendiri sebenarnya mengambil bahan terlarang berkenaan.

“Pasal dadah, tak perlu nak pura-pura lagi, kadang-kadang yang mengulas tu sendiri pun sama ambil dadah,” katanya.

Justeru, menurut suami aktres Mona Allen itu, lebih baik fokus pada usaha untuk memajukan industri berbanding menutup periuk nasi seseorang.

“Sekarang ni kita fokus jaga diri ikut prosedur operasi standard (SOP), jaga diri dan keluarga agar jangan dijangkiti Covid-19.

“Berikan mereka yang terbabit peluang kedua,” katanya.