Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Inisiatif Perkeso kerajaan memang ditunggu-tunggu - FDAM

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyambut positif keputusan kerajaan yang menyediakan pelbagai insentif khususnya skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penggiat seni dalam Belanjawan 2022.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, skim itu memang wajar diberi perhatian memandangkan ia memberi faedah jangka panjang selain membantu golongan berkenaan secara komprehensif.

“Ramai kru dan pelakon kehilangan pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19. Jadi Perkeso amat membantu mereka yang hilang pekerjaan disebabkan jatuh sakit atau kemalangan terutama di saat negara berdepan wabak.

“Melalui Perkeso, sekurang-kurangnya mereka boleh dapat bantuan wang secara bulanan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menteri Kewangan, Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM188 juta bagi meneruskan pelbagai inisiatif dalam sektor industri kreatif bagi memacu pemulihan ekonomi.

Menurutnya, inisiatif itu antaranya ialah Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem dan program Perkasa Modal Insan.

Katanya, turut disediakan adalah skim perlindungan Perkeso kepada golongan penggiat seni.

Ahmad Ibrahim berkata, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sudah lama diperjuangkan persatuan namun belum menjadi kenyataan.

“Skim ni wajar untuk penggiat seni, FDAM sudah lama merangka pelan untuk melaksanakan proses ini tapi malangnya ia terpaksa ditangguhkan ekoran perintah kawalan pergerakan.

“Pihak kami akan terus memberi galakan agar lebih ramai golongan pelakon dan kru untuk menyertai skim ini,” katanya.