Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri: Mamat Khalid wira perpaduan

Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique menyifatkan pengarah filem tersohor Mamat Khalid - yang menghembuskan nafas terakhir lewat malam tadi - sebagai seorang wira yang juga memperjuangkan agenda perpaduan.

Merakamkan takziah kepada ahli keluarga arwah, Halimah berkata Mamat meninggalkan legasi indah berkenaan mesej perpaduan kaum dalam karyanya.

“Allahyarham Mamat adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

“Sebagaimana Allahyarham P Ramlee yang meninggalkan legasi seni hingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu.

“Ada nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum, nilai kebersamaan melalui karya-karya Mamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mamat Khalid, 58, meninggal dunia lewat malam tadi, di Hospital Slim River, Perak dipercayai selepas mengalami serangan jantung.

Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor negara, Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan dan lima anak.

Kata Halimah lagi, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila ia mengangkat mesej positif melangkaui zaman yang menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum.

“Mamat Khalid bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi sesama masyarakat.

“Di situ 'mahalnya' sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah.

“Saya berharap seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan atas kehilangan ini. Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karyanya akan terus hidup dan segar di mata masyarakat," katanya lagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa, Sara dan Nurhassanah.

Bermula sebagai pengarah telefilem, Antara karya Mamat yang terkenal adalah Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Rock.