Elyana berbesar hati diziarahi Ebit Lew sampai tak boleh tidur
Penyanyi dan pelakon Elyana mengakui dia rasa terharu dan sangat berbesar hati sehingga tidak boleh tidur malam selepas dikunjungi personaliti terkenal, Ebit Lew.
Menganggap Ebit sebagai insan istimewa, Elyana berkata, kehadiran itu menambah semangat buatnya yang baru selesai menjalani rawatan kemoterapi kerana kanser limfoma tahap empat.
Malah katanya semangat itu mula hadir sebaik saja mendapat tahu Ebit bercadang mahu menziarahinya.
"Saya rasa begitu terharu sebab langsung tidak sangka dia akan menziarahi saya.
“Alhamdulillah, saya pula baru lepas jalani rawatan. Inilah yang dinamakan rezeki.
“Saya sangat gembira terutama bila ustaz (Ebit) datang memberi doa... (terharu)sampai tak boleh tidur. Saya berterima kasih kepada ustaz kerana sudi datang,” katanya kepada Malaysiakini.
Kata pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal itu, memang pada awalnya dia berasa segan sebab tidak sempat untuk membuat persiapan yang sewajarnya bagi menyambut kehadiran seseorang yang terkenal seperti Ebit.
Ada rasa loya, masalah telinga
Bagi Elyana, 34, dia memang memerlukan kata-kata pendorong dan perkongsian ilmu daripada seseorang seperti Ebit untuk membantunya terus tabah berdepan ujian.
“Biasanya selepas menjalani rawatan, saya elakkan untuk menerima kunjungan tetamu memandangkan tubuh masih dalam proses untuk pulih daripada rawatan kemoterapi.
“Tapi saya tahu dia seorang yang baik justeru, (harap) boleh menerima aura positif daripadanya. Banyak juga ilmu dan kata-kata semangat yang diberikan.
“Katanya: jangan anggap Allah benci walaupun kita berdepan ujian, tapi ingat Dia sayangkan kita,” katanya.
Penyanyi Kalis Rindu itu berkata, dia juga terkejut apabila menerima sedikit sumbangan dan buah tangan daripada pendakwah berkenaan.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaru kesihatannya, Elyana berkata, selepas menjalani rawatan, dia mengalami rasa loya selain mengalami masalah pada bahagian telinga dan hidung.
Katanya, dia akan merujuk pakar dan membuat pemeriksaan dalam masa terdekat.
“Lepas kemoterapi, perut akan keras, sakit dan loya, ada rasa nak muntah. Tapi selalunya saya cuba tahan daripada muntah.
“Kali ni, telinga dan hidung pula tersumbat, kena jumpa pakar untuk pemeriksaan. Masalah tu menyebabkan saya pening,” katanya.
Namun, Elyana bersyukur kerana kehadiran suami, Khairul Anuar Husin, sangat membantu untuk menggembirakannya setiap kali selepas selesai rawatan.
“Saya jalani kemoterapi setiap dua minggu sekali dan alhamdulillah, ada suami yang sentiasa cuba menggembirakan saya dengan bawa keluar makan dan jalan-jalan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai