Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dewa 19 rancang siri konsert di 30 bandar Indonesia dan Malaysia

Dewa 19 mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajah ke 30 bandar dari Indonesia hingga ke Kuala Lumpur dengan prosedur operasi standard (SOP) COvid-19 yang ketat.

Konsert berkenaan diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan band terkenal Indonesia yang diasaskan Ahmad Dhani itu.

Kata Ahmad Dhani, konsert kemuncak akan berlangsung semasa persembahan terakhir tahun depan.

“Kami ingin menyambung konsert dalam talian yang sudah dimulakan, itu adalah tahap awal. Sesi kemuncaknya pada tahun 2022.

“Tahun 2022 adalah tahun ke-30 Dewa 19 berkarya selama 30 tahun,” katanya dipetik media tempatan.

Bagaimanapun, Ahmad Dhani berkata, jelajah tersebut masih bergantung pada jumlah kes positif Covid-19 setiap bandar yang akan dikunjungi Dewa 19.

“Kami masih berharap pandemik segera berakhir dan jumlah menunjukkan penurunan hingga tahun 2022 dan Dewa 19 berpeluang menglangsungkan konsert.

“Namun, sebelum itu, kami harus menguar-uarkan konsert sempena menyambut ulang tahun ke-30 karier Dewa 19,” katanya.

Persembahan tersebut kata Ahmad Dhani, sebagai bukti kewujudan kumpulan itu yang ditubuhkannya sejak di bangku sekolah lagi.

Ditanya soal konsep yang akan dibawakan, Ahmad Dhani berkata, dia belum berkongsi perincian tersebut dengan lebih lanjut buat masa ini.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, justeru kita akan cuba menyambut tahun bahagia ini dengan penuh semangat dan semoga tak ada halangan dan seterusnya sampai ke tahun 2022, untuk kami melaksanakan konsert sempena memperingati Dewa 19 di 30 kota,” katanya.

Ahmad Dhani turut mendedahkan Dewa 19 bakal berkolaborasi dengan pengendali konsert tempatan untuk memastikan kejayaan konsert berkenaan di setiap lokasi termasuk di luar negara seperti Malaysia dan Singapura.

“Dari 30 kota kami umumkan, tiga bandar sudah mempuyai penganjur tempatan, Kuala Lumpur, Singapura dan Bandung.

“Bagi 27 bandar lain yang akan dijelajah adalah Lampung, Medan, Aceh, Padang, Kabupaten Bekasi, Kota Bekasi, Kabupaten Bekasi Cikarang, Cilegon, Solo, Semarang Jogja, Bali, Samarinda dan Pontianak,” katanya.

Ahmad Dhani juga akan membawa beberapa pemuzik bersama dalam konsert jelajah berkenaan seperti Ari Lasso, Once Mekel, Virzha Muhammad dan Marcello Tahitoe atau Elo.