Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Faye Kusairi, Ropie kongsi ilmu seni bersama belia Perlis

Peminat seni khususnya golongan belia di Perlis berpeluang menimba ilmu seni kreatif daripada pelakon, Faye Kusairi dan pelawak, Ropie Cecupak dalam sesi Santai Selebriti Tanah Air Sempena Program Komuniti@Finas (KoFI), di sini hari ini.

Bengkel videografi, YouTube dan lakonan yang bertujuan mencungkil bakat seni dalam kalangan belia itu disertai 50 peserta dan turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Faye Kusairi ketika ditemui berkata untuk menjadi 'anak seni' seseorang itu perlu yakin dengan keupayaan diri dan melakukan sesuatu perkara dengan penuh minat.

Menurut Ropie pula, menjaga penampilan diri juga sangat penting dan jangan mudah terikut dengan budaya tidak elok.

Selepas menghadiri bengkel itu, Zahidi serta rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meluangkan masa menziarahi pewaris tunggal seni 'Awang Batil' Ramli Mahmud di Kampung Pokok Sena, Chuping dekat sini.

Dalam kunjungan yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Finas, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin, Zahidi menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 serta bakul makanan kepada Ramli menerusi inisiatif Ziarah CSR: Program Keluarga Malaysia Finas.

- Bernama