Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yadim pertahan pelaburan dalam Nurflix

Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) mempertahankan pelaburan badan itu dalam kandungan perkhidmatan penstriman televisyen atas talian Nurflix.TV.

Yadim menyatakan perkara itu bagi menjawab kritikan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar di parlimen berhubung beberapa keputusan kewangan agensi kerajaan itu.

Mahfuz antara lain mempersoalkan peruntukan modal RM500,000 dan pinjaman mudah RM500,000 untuk anak syarikat Yadim Lembaran Yadim Sdn Bhd (LYSB) serta pelaburan RM1 juta di Nurflix melalui LYSB.

Dia turut mempersoalkan penyewaan rumah tamu untuk Yadim Nasrudin Hassan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Kamarul Arief Tuan Soh dalam kenyataan mengesahkan rancangan untuk melabur di Nurflix.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada dana yang dipindahkan.

“Berhubung soal penyaluran peruntukan Yadim atau LYSB kepada Nurflix, sehingga hari ini tiada sebarang penyaluran peruntukan dilakukan kepada syarikat tersebut dan kedua-dua pihak sedang memuktamadkan terma perjanjian sebelum Yadim melalui proksi anak syarikatnya membeli 10 peratus kepentingan saham dalam syarikat ini.

“(Pembelian) itu yang akan meletakkan Yadim dalam kedudukan strategik untuk meneroka ruang baru dakwah melalui bidang hiburan dan pendidikan Islamik dalam arus perdana melalui teknologi penstriman yang mempunyai sasaran dakwah yang lebih luas,” katanya.

Nurflix yang dilancarkan pada 2020, adalah sebuah platform penstriman televisyen yang menyediakan kandungan patuh syariah.

Ruang penstriman kandungan hiburan kini dikuasai oleh syarikat gergasi bernilai berbilion dolar seperti Netflix dan Disney Hotstar, yang mengekang pemain yang lebih kecil.

Antara yang menjadi ‘korban’ ialah Dimsum Entertainment Star Media Group Bhd yang berhenti beroperasi pada 30 September lalu manakala iFlix pula bergelut sejak pengasasnya berhenti daripada syarikat tersebut.

Kamarul Arief berkata, suntikan modal RM500,000 dan pinjaman mudah RM500,000 untuk LYSB bertujuan untuk membantu anak syarikat dalam rancangan perniagaan baru.

Menurutnya, anak syarikat Yadim sedang memasuki peruncitan melalui pembukaan Yadim Mart dan perdagangan selain bidang perniagaan sedia ada, iaitu pengurusan aset hartanah.

Dia berkata, rancangan perniagaan itu bertujuan untuk menghidupkan kembali kedudukan kewangan LYSB yang menyaksikan kerugian terkumpul sejak kepemimpinan Yadim sebelumnya.

Isu rumah sewa tamu untuk Nasrudin

Mengenai rumah sewa tamu untuk Nasrudin, Kamarul berkata ia dibayar oleh Nasrudin sendiri.

 Nasrudin Hassan

Dia juga membantah dakwaan Mahfuz bahawa perabot bernilai RM22,000 digunakan untuk melengkapkan rumah tamu itu.

“Nilai perabot RM22,000 seperti yang ditimbulkan juga adalah tidak benar kerana perabot yang digunakan diambil dari perabot-perabot yang tidak digunakan di Yadim dan kelengkapan asas oleh LYSB,” katanya.

Katanya, perkara berbangkit mendapat semakan Jabatan Audit Negara dan mendapati bahawa langkah diambil Yadim adalah wajar dan mematuhi tatacara.