Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Netflix buang babak pamer nombor telefon sebenar lepas aduan

Kandungan penstriman digital Netflix terpaksa menyunting semula Squid Game selepas salah satu babak dalam program berkenaan memaparkan nombor telefon sebenar.

Drama bersiri yang menjadi hit itu mengundang perhatian ramai selepas ia secara tidak sengaja menggunakan nombor telefon kepunyaan seorang lelaki.

Susulan itu, Netlfix dan rumah produksi Siren Pictures Inc berkata mereka sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut selepas menerima aduan mengenainya.

“Kami akan cuba menyelesaikan masalah itu bersama syarikat produksi termasuk dengan menyunting babak berkaitan nombor berkenaan dan apa-apa yang berkaitan,” katanya.

Dalam episod pertama drama tersebut, setiap calon peserta akan mendapat kad. Untuk menyertai permainan, mereka terlebih dulu perlu mendail nombor pada kad berkenaan sebelum dibenarkan menyertai permainan berbentuk survival itu.

Seorang lelaki di Korea Selatan kemudian mendakwa dia diganggu orang tidak dikenali selepas nombor telefonnya didedahkan dalam salah satu episod berkenaan.

Katanya, dia menerima panggilan telefon dan mesej tanpa henti hingga menyukarkannya untuk menjalani kehidupan seharian.

Adegan itu turut menarik perhatian badan pengawal seliaan UK, Ofcom, yang mengecam Netflix kerana tidak menyedari kesilapan tersebut.

Berita itu muncul selepas penyedia perkhidmatan internet Korea Selatan, SK Broadband, mengemukakan tuntutan ke atas Netflix, selepas rancangan itu didakwa menyebabkan berlaku peningkatan trafik baru-baru ini.

Pembekal internet itu turut meminta Netflix untuk membayar kos penyelenggaraan yang berkaitan akibat lonjakan trafik untuk thriller terbabit.