Rafiee mencabar diri dari kanvas ke batang balak
"Sama, tapi disampaikan dalam bahasa yang berlainan", jawab Rafiee Ghani apabila ditanya sama ada siri karya terbaru yang dihasilkannya mempunyai kesinambungan dengan karya-karya terdahulu.
Kepada yang belum mengenali, Rafiee ialah seorang pelukis terkenal sama ada di negara kita mahu pun di luar. Beliau berkarya pada usia awal dan bermula apabila dihadiahkan satu set warna air oleh bapanya.
Rafiee juga berada dalam kelompok kecil seniman dari negara kita yang hasil kerja mereka mendapat sambutan baik di arena lelong antarabangsa seperti Sotheby's dan lain-lain.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke ITM (kini UiTM) beliau terlebih dulu menimba ilmu seni catan di luar negara. Minat untuk mengembara juga membawa Rafiee ke hampir semua negara di dunia ini.
Beliau kini menjadi pelukis sepenuh masa setelah menghabiskan sedikit waktu menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti dalam dan luar negara. Selain itu, minatnya dalam pengembaraan masih belum padam.
Dan Rafiee akan sentiasa dilihat mencari peluang untuk merentas sempadan negara.
Setelah menghasilkan karya yang hanya tertumpu kepada kanvas dan kertas, Rafiee kini mula mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang lebih berat. Justeru beliau beralih kepada kerja yang dihasilkan daripada kayu.
Apabila ditanya apakah tidak terlewat untuk melakukan sesuatu yang baru pada usia sekarang - ditambah pula dengan statusnya sebagai pelukis yang memang dikenali - beliau menerangkan, adalah mustahak untuk seorang seniman sentiasa mencuba sesuatu yang baru.
Semacam satu senaman
Duduk selesa dalam satu aliran saja akan menghasilkan persembahan yang statik. Beliau amat menyarankan untuk sesiapa pun yang aktif menghasilkan karya agar keluar dari zon selesa dan cuba 'menceroboh' pekara-perkara baru.
Seniman yang asyik dengan melukis misalnya harus tahu bila masanya mahu keluar dan berhenti seketika sebelum pergi melakukan hal-hal yang lain. Mula mencuba untuk memasak atau pun menulis dengan serius misalnya.
Atau sekadar memberi masa untuk menikmati dunia yang lain daripada melukis.
Dengan memberikan ruang rehat kepada alam karya, setelah itu seniman terbabit akan masuk kembali ke alam karya dengan suatu pandangan yang berbeza.
Ini akan mengakibatkan sesuatu karya yang lebih segar dan tidak membosankan terlahir. Ia baik kepada seniman itu sendiri serta mereka yang sentiasa mengikuti perkembangannya.
"Dan satu lagi, kerja mengukir kayu ini kepada saya suatu macam senaman, tambahan pula dalam usia seperti sekarang ini," katanya.
Dan kami boleh faham apa yang Rafiee maksudkan. Arca-arca yang beliau hasilkan semua bersaiz mega dan ia ditarah daripada batang balak. Sudah tentu ia memerlukan banyak tenaga untuk digerakkan.
Hampir semua bahan kayu yang digunakan Rafiee di bawa khas dari Kelantan kerana menurut beliau di tempat lain harganya lebih mahal.
Rafiee juga memilih arca sebagai pengantara baru untuk menyampaikan rasa hatinya kerana selama ini audien hanya dapat menikmati karya berbentuk 2D. Kini dengan arca mereka boleh bebas menikmati keseluruhan karyanya.
Seperti yang telah dijelaskan, karya-karya terbaru Rafiee masih lagi mengekalkan 'cerita' yang sama. Beliau masih mengekalkan corak garisan yang membuatkannya terkenal itu.
Corak-corak yang ambiguous juga masih ada di sana namun apa yang lebih mengujakan ialah apabila beliau mampu mengasilkan karya sebegini di atas bongkah kayu yang bersaiz gergasi.
Rafiee mengakui masih belum menguasai semua mesin yang beliau gunakan dalam menghasilkan karya-karya terbarunya. Namun daripada apa dilihat, Rafiee sudah sangat mampu untuk memberi arahan kepada peralatan yang digunakan agar menurut saja perintah gerak hati semasa berkarya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai