Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Bunuh diri bukan sebahagian daripada fesyen'

Jenama fesyen mewah Perancis, Givenchy, dikritik selepas menggayakan model mereka dengan rantai berbentuk penjerut yang kelihatan seperti tali gantung sewaktu pertunjukan Minggu Fesyen Paris.

Pada 3 Oktober lalu, tiga model memakai aksesori versi emas dan perak pada pertunjukan musim bunga - musim panas 2022 Givenchy.

Kejadian itu berlaku dua tahun selepas sebuah lagi jenama mewah British, Burberry, memohon maaf kerana menghasilkan hoodie (baju bertutup kepala) yang mempunyai tali kelihatan seperti tali gantung.

Akaun Instagram fesyen, Diet Prada, yang mempunyai hampir 3 juta pengikut memuat naik hantaran “sejarah” boleh berulang dan bagaimana tiada yang menyedarinya.

“Kamu fikir industri akan belajar untuk tidak menggunakan aksesori menyerupai penjerut di leher model.

“Tapi rantai @givenchyofficial yang baru saja diperagakan hampir sama ke arah itu. Hal ini benar-benar membuat kamu berfikir bagaimana tiada sesiapa yang perasan, tapi sayang, sejarah berulang lagi,” katanya.

Aktivis dan artis Kim Saira pula berkata: “Bagaimana hal begini boleh terlepas dan semua semua orang menganggap ia adalah OK? Dan mengapa saya tidak terkejut?”

Kalung itu adalah sebahagian daripada pertunjukan pentas peragaan pertama pengarah kreatif Givenchy, Matthew Williams sejak dia menyertai jenama mewah tesebut musim panas lalu.

Williams dalam wawancara bersama Vogue sebelum ini berkata, hasil seni rantai itu amat kompleks dan dicipta oleh pereka AS, Josh Smith yang diinspirasikan daripada lukisan Grim Reaper miliknya.

Ketika Burberry mengundang perhatian ramai pada tahun 2019, salah seorang modelnya, Liz Kennedy, menulis catatan panjang bertajuk “Bunuh diri bukanlah fesyen" di Instagram.

Sejak kebelakangan ini, industri fesyen menimbulkan sejumlah kontroversi di luar jangka.

Jenama Gucci misalnya memohon maaf selepas pakaian yang dihasilkan kelihatan seolah-olah seseorang berwajah hitam (blackface).

Prada pula terpaksa menghentikan jualan produk mereka yang memaparkan figura monyet hitam dengan bibir besar berwarna merah selepas ia disifatkan perkauman.

Dolce & Gabbana juga mencetuskan kontroversi pada 2016 selepas menamakan produk sandal untuk musim bunga - musim panas mereka sebagai sandal hamba abdi (slave sandal).