Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ibu Ali Puteh, Allahyarham Abam meninggal dunia

Ibu kepada pelawak Ali Puteh dan Allahyarham Abam Bocey meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit ketika usianya mencecah 64.

Allahyarhamah Sabariah Arshad menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.54 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Selayang.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan memaklumkan berita dukacita itu melalui Instagram dan meminta orang ramai mendoakan arwah ibunya.

"Assalamualaikum...mak saya telah pergi menghadap Ilahi. Doakan buat mak saya ye semua. Mak jumpa abang di sana ya," tulisnya.

Menerusi hantaran terkini, pelawak itu memberitahu Allahyarhamah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, sebelum solat Jumaat.

Pada 17 Disember lalu, arwah dimasukkan ke hospital berkenaan akibat serangan asma.

Ali ketika itu berkata, ibunya masih 'ditidurkan' dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

Berita sedih itu turut dikongsikan anggota Bocey iaitu Achey menerusi Instagram.

"Malam Jumaat pemergian mu mak @aliputeh_official. Moga mak tenang di sana. Moga bertemu dengan anakmu #abam tercinta di syurga Insya-Allah," katanya.

Hantaran mereka menerima ucapan takziah daripada rakan artis serta peminat Ali dan keluarganya.