Elizabeth Tan tak kisah lebam-lebam demi aksi lasak
Keterujaan memegang watak sebagai anggota polis membuatkan Elizabeth Tan seronok melakonkan sendiri babak aksi dalam drama terbaru lakonannya, Gerak Khas Undercover.
Kata pelakon dan penyanyi itu, memang melakonkan aksi lasak seperti Inspektor Elly antara cabaran dan pengalaman yang paling ditunggu-tunggu sewaktu dia menerima tawaran menjayakan sesebuah naskhah.
Justeru, menurutnya, dia tidak mengambil masa lama sebelum memberikan persetujuan kepada pemilik Skop Productions Sdn Bhd, Yusuf Haslam, untuk menjadi sebahagian barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri tersebut.
“Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya apabila ditawarkan berlakon untuk Gerak Khas Undercover. Saya memang suka diberi peluang untuk berlakon babak aksi.
“Saya terus cakap 'ya' apabila ditanya berminat atau tak untuk menyertai barisan pelakon bagi menjayakan drama bersiri tersebut,” katanya.
Kata Elizabeth, 27, seboleh-bolehnya semua babak aksi ingin dilakonkannya sendiri supaya dia berpeluang mempelajari perkara baru sepanjang menceburkan diri dalam bidang itu.
“Saya akan cuba buat sebanyak yang termampu untuk menghasilkan babak aksi,” katanya.
Ada sakit-sakit sedikit
Elizabeth berkata demikian pada sidang media mempromosi Gerak Khas Undercover yang berlangsung secara maya semalam.
Drama itu bakal bersiaran selama 30 episod di TV3 bermula pada 1 Oktober ini dan setiap Jumaat jam 10.30 malam. Ia turut disiarkan di platform penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.
Gerak Khas Undercover memaparkan beberapa tugas risikan bagi membanteras jenayah seperti kes membabitkan kumpulan kongsi gelap remaja, sindiket pengedaran dadah dalam kalangan pelajar sekolah, penipuan jual beli kereta, pelacuran dan keldai dadah dalam kalangan pelajar kolej.
Sebagai tarikan awal penceritaan pula, Gerak Khas Undercover menampilkan Rosyam Nor yang melakonkan watak sebagai ketua gengster kelab malam, Tony Bono.
Tony menjadi sasaran utama DSP Jeslina - watak dilakonkan Erra Fazira - dan ASP Salina (Salina Saibi) untuk menumpaskan sindiket jenayah yang dikuasai olehnya.
Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, dia tidak kisah sekiranya badannya mengalami sakit-sakit sedikit ketika melakonkan babak aksi tersebut.
“Saya cuma alami lebam-lebam saja dan ada kuku tercabut, yang lain OK,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Police Entry itu berkata, lakonan untuk aksi lasaknya itu masih terhad. Justeru dia masih memerlukan khidmat pelakon lagak ngeri sebagai pendua untuk melakukan babak yang lebih berbahaya.
“Kalau aksi terlalu ngeri saya terpaksa menggunakan pelakon pendua. Tapi selagi boleh buat sendiri, saya akan cuba. Lagipun, dalam Gerak Khas Undercover saya tak perlu lakukan banyak aksi lasak besar-besar seperti dalam filem,” katanya.
Sementara itu, mengulas gandingannya bersama Rosyam, Elizabeth berkata, dia bersyukur kerana berpeluang menimba ilmu baru bersama pelakon senior itu.
Menurutnya, Rosyam tidak lokek ilmu sebaliknya menurunkan pelbagai tip dan teknik untuk bergelar pelakon yang berkredibiliti.
“Dia ajar banyak cara lakonan untuk mencipta karakter yang diminta dalam skrip. Saya rasa sangat bertuah dan harga peluang bekerjasama dengan seorang legenda seperti Rosyam,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai