Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lizzy rasa macam dibuli

Masih diam seribu bahasa, demikian dapat digambarkan mengenai status kontrak Elizabeth Tan dengan syarikat yang menaunginya, Warner Music Malaysia sejak Februari lalu.

Kata Elizabeth atau juga mesra dengan panggilan Lizzy, sepatutnya kontrak yang ditandatangani bersama syarikat rakaman tersebut tamat pada Februari lalu, namun dia belum diberikan sebarang surat hitam putih sebagai tanda pengesahan.

Menurutnya, pelbagai rancangan yang ingin diteruskan seperti melancarkan single terbaru akhirnya tergendala disebabkan kemelutnya dengan label itu masih belum menemui titik noktah.

“Saya tak nak cakap perkara buruk. Apa yang boleh saya katakan, saya rasa macam dibuli.

“Jika diikutkan, dah ada perancangan untuk keluarkan single baru, tapi saya tak pasti apa status bersama Warner ketika ini.

“Justeru, saya tak boleh nak teruskan projek tersebut sebab bimbang isu lain pula timbul,” katanya.

Elizabeth berkata demikian pada sidang media mempromosi drama terbaru lakonannya, Gerak Khas Undercover yang berlangsung secara maya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pemilik nama penuh Elizabeth Tan Su Mei, 27, itu mahu meninggalkan syarikat tersebut selepas tiga tahun menjadi artis rakaman mereka.

Katanya, alasan berbuat demikian kerana dia ingin memberi fokus dalam bidang lakonan selain menumpukan perhatian pada perniagaan yang diceburinya.

Selepas memaklumkan perkara itu kepada Warner Music, Elizabeth mendakwa, dia mendapat tentangan syarikat tersebut kerana ada beberapa perkara termaktub dalam kontrak belum dilunaskan.

Ditanya mengapa label berkenaan bertindak demikian, penyanyi Knock Knock itu berkata, dia sebenarnya tidak mempunyai jawapan pasti mengenai perkara berbangkit.

“Saya pun tak pasti mengapa perkara macam ni dilengah-lengahkan. Mereka juga mendiamkan diri walaupun notis guaman sudah dihantar,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Warner Music namun syarikat tersebut belum boleh memberikan sebarang maklum balas ketika ini.