Pitahati, Ito beri nafas baru pada Khatulistiwa
Berbekalkan semangat dan impian untuk menyatupadukan masyarakat melalui muzik, Pitahati tampil dengan kolaborasi bersama Ito Blues Gang bagi menyuntik Khatulistiwa dengan nafas baru.
Ilham yang merupakan penulis lirik utama dalam Pitahati berkata, kumpulan itu terlebih dulu mendapat persetujuan daripada Ito yang juga penyanyi asal lagu berkenaan untuk membuat beberapa perubahan pada lagu tersebut.
“Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati. Itulah bait-bait yang diperbaharui dalam pembikinan semula lagu Khatulistiwa versi baru ini," katanya.
Kata Ilham, semuanya bermula dengan mengumpulkan senarai lagu daripada kugiran tempatan yang menjadi inspirasi karya Pitahati.
Menurutnya, mereka kemudian terdetik untuk menjadikan lagu Blues Gang itu sebagai sebuah cover ketika persembahan.
“Waktu cover sebelum ini pun kami cuba tak nak hilangkan keaslian lagu dan itulah yang paling penting.
“Kalau banyak perubahan ia akan membuatkan lagu itu hilang rasanya yang tersendiri,” katanya lagi.
Khatulistiwa, lagu kugiran lagenda rock blues tanah air Blues Gang mula dikenali ramai pada 1983 dan pernah menjadi kontroversi.
Kini muzik dan liriknya disusun kembali sesuai dengan peredaran masa.
Selain Ilham, pemilihan lagu tersebut dibuat Pitahati yang turut dianggotai oleh Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat kerana 'auranya' yang diyakini mampu menyatupadukan masyarakat.
Menurut Ilham, Khatulistiwa yang dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini juga merupakan satu bentuk penghormatan Pitahati untuk Blues Gang.
“Tidak sangka ia jadi malar segar di mana selepas itu ia sering menjadi permintaan dan bualan peminat-peminat,” katanya.
Sementara itu, Ito pula menyifatkan gubahan lirik yang dihasilkan kedengaran lebih sempurna dengan mesej yang cuba disampaikan.
“Pitahati dan saya bersetuju untuk mengubah bahagian 'Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban, bersatu hati' untuk menjadikan ia lebih sempurna.
“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baru ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Penggambaran video muzik lagu tersebut dijalankan di sekitar Ipoh, Perak dengan membawa konsep santai serta berinspirasikan tema kehidupan masyarakat berbilang bangsa.
Perjalanan yang mengambil masa hampir tiga hari itu membawa mereka ke kawasan-kawasan rakyat berbilang kaum seperti di Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood dan, Super Kinta.
Pitahati juga berkongsi proses belakang tabir rakaman dan pembikinan video muzik Khatulistiwa melalui sesi bual bicara yang dinamakan sebagai Bicara & Susun Kata.
Sesi itu boleh ditonton di saluran YouTube mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai